Suasana kawasan yang kebiasaannya sesak dengan orang ramai menjadi lengang berikutan kerajaan melaksanakan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penutupan penuh bermula 1 Jun 2021 hingga 14 Jun ketika di sekitar Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 01 JUN 2021.

PETALING JAYA – Sistem Internet yang lumpuh serta masa permohonan yang singkat menyebabkan ramai peniaga gagal mendapat surat kebenaran untuk beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia dan Singapura, Huang Shou Qun berkata, kebanyakan kedai kopi berniaga pada 1 Jun tanpa surat kebenaran beroperasi daripada pihak berkuasa.

Beliau berkata, peniaga pada mulanya berdepan laman sesawang Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang lumpuh, tetapi kemudian diberitahu bahawa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang akan mengeluarkan surat kebenaran.

“Kami dibelenggu isu surat kebenaran sepanjang hari pada 31 Mei termasuk berdepan kegagalan untuk memohon dalam laman sesawang.

“Selain kedai kopi, saya difahamkan kilang dan kedai runcit juga berdepan pelbagai masalah termasuk tidak tahu sektor mana yang perlu memohon,” katanya kepada Sinchew Daily.

Disebabkan gagal menerima surat kebenaran, Shou Qun berkata, banyak peniaga kedai kopi telah menghubungi pihak berkuasa tempatan dan juga wakil rakyat untuk merungkai persoalan yang wujud.

“Kami kemudian dimaklumkan boleh berniaga tanpa surat kebenaran buat sementara waktu,” katanya.

Presiden Persekutuan Persatuan Perniaga Barangan Runcit Malaysia, Hong Chee Meng pula berkata, disebabkan laman sesawang Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang tidak stabil, ramai peruncit gagal memasuki laman itu.

“Masa sehari yang diberikan kepada peniaga adalah terlalu singkat sedangkan terdapat lebih 40,000 kedai runcit di seluruh Malaysia.

“JIka ditambah dengan sektor perniagaan lain yang turut membuat permohonan, trafik Internet adalah terlalu tinggi,” katanya.

Tambahnya, peralihan sesetengah sektor kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada malam 31 Mei juga mengelirukan ramai pihak.

“Telefon saya tidak berhenti berdering sepanjang hari dan kami juga berusaha mendapatkan maklumat terkini daripada kementerian dan menjawab persoalan ahli,” katanya.

Menurutnya, surat kebenaran operasi itu amat diperlukan sesetengah peniaga yang perlu merentas daerah untuk buka kedai. – MalaysiaGazette