Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hadir bersama Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Majlis Pelancaran Bulan Antidadah Kebangsaan 2020 di Puspanitapuri Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 18 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Pengasas Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa pemerintahan Tan Sri Muhyiddin Yassin sama seperti  Datuk Seri Najib Razak.

Mahathir mendakwa, Muhyiddin menggunakan wang untuk  membeli sokongan Ahli-Ahli  Parlimen.

Bezanya, katanya beliau, Muhyiddin tidak mencuri wang rakyat tetapi menggunakan jawatannya dalam kerajaan dengan duit dibayar supaya dapat sokongan.

“Ya, memang kita dapati apabila Muhyiddin ambil alih, kita beri masa kepadanya untuk tunjukkan apa caranya.

“Kita dapati caranya sama dengan Najib iaitu gunakan wang untuk beli sokongan, beri jawatan dengan gaji tinggi pada siapa saja yang sokong.

“Bermakna PM ini samalah dengan Najib, tinggal (cuma) lagi dia tak curi duit,” katanya dalam sidang media menerusi aplikasi Zoom selepas mengadakan mesyuarat Majlis Eksekutif Pusat Penaja Pejuang, hari ini.

Mahathir berkata demikian ketika ditanya wartawan mengenai tindakan Muhyiddin yang masih belum meluluskan pendaftaran Parti Pejuang Tanahair (Pejuang).

Menurut Mahathir, tindakan itua pernah dibuat oleh Najib ketika pendaftaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada tahun 2016.

“Sekarang ini ada kemungkinan mereka nak tentukan dalam PRU hanya mereka boleh bertanding dan dapat kemenangan. Ini ‘haram’ sebab bertentangan dengan undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, Mahathir hairan mengapa beliau tidak ditawarkan sebarang jawatan tertentu oleh Muhyiddin di awal pentadbirannya sebagai kerajaan awal tahun lalu sedangkan beliau merupakan seorang Ahli Parlimen yang berkemungkinan boleh memberikan sokongan kepada dirinya.

Sebaliknya, Muhyiddin hanya memberi tawaran kepada Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sahaja untuk menyokong beliau.

“Sebelum ini, beliau tiada sokongan majoriti, tetapi apabila dilantik menjadi perdana menteri, maka ramailah yang ditawarkan jawatan termasuk Maszlee dan Syed Saddiq. Saya entah macam mana tak ditawarkan jawatan,” dedah beliau. – MalaysiaGazette