Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan Kelantan kerana berjaya dalam misi membantu peniaga colek yang dikenakan kompaun RM50,000 atas dakwaan melanggar SOP baru-baru ini.

Presiden UMNO itu berkata, usaha yang dilakukan oleh peguam parti menerusi Sekretariat Peguam Muda dan Perundangan Pemuda UMNO Malaysia itu berjaya mengurangkan kadar kompaun kepada jumlah sewajarnya.

“Peniaga kecil, Mohd Azizi Mohd Noor hanya dikenakan kompaun RM500 oleh Mahkamah Kota Bharu selepas Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dengan usaha Pemuda UMNO Kelantan menyediakan khidmat guaman untuknya.

“Tahniah UMNO Kelantan, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan Pergerakan Pemuda UMNO Pengkalan Chepa serta semua yang terlibat membantu.

“Sekali lagi saya nyatakan perlu ada guidelines yang jelas mengenai budi bicara sebelum kerajaan mengenakan kompaun ke atas rakyat,” katanya menerusi Facebooknya semalam.

Selasa lalu, Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor dilaporkan berkata, isu Mohd Azizi selesai apabila mahkamah menetapkan denda RM500, daripada RM50,000 yang dikenakan pihak berkuasa.

Kisah peniaga colek yang berniaga pada Ramadan lalu di Kampung Cjekok Tengah, Pengkalan Chepa, dekat Kota Bharu itu mendapat perhatian sayap parti UMNO untuk membantu meringankan hukuman denda dengan menyediakan khidmat guaman dari Sekretariat Peguam Muda dan Perundangan Pemuda UMNO Malaysia.

Mohd Azizi dibela oleh peguam yang juga Exco dan Pengerusi Sekretariat, Nik Saiful Adli Burhan dari Tetuan Irmohizam Rosley dan Nik Adli serta peguam Azwan Hussain dari Tetuan Rafizah Azwan dan Associates.

Menurut Ahmad Zahid, beliau khuatir dengan Ordinan Darurat yang masih berkuatkuasa akan menyaksikan insiden seperti itu berulang lagi pada masa depan yang akhirnya menyulitkan semua pihak.

“Adalah keterlaluan untuk mengenakan kompaun sehingga RM50,000 kepada peniaga kecil. Tindakan kompaun bertujuan mendidik bukan menjerumuskan rakyat dalam kesusahan dan keperitan hidup.

Sementara itu, kata Ahmad Zahid, UMNO bukan sekadar wadah politik tetapi sebuah perjuangan agama dan bangsa serta lambang perpaduan dan kemakmuran negara.

Katanya, ungkapan itu tidak akan pernah padam, malah berterusan di setiap tempat dan waktu.

“UMNO juga sebuah legasi milik rakyat dari generasi ke generasi zaman berzaman, maka berbanggalah mereka yang mewarisi wacana perjuangan UMNO yang ikhlas lagi murni ini.

“Insya-Allah dengan izin dan inayah-Nya paksi perjuangan UMNO ini tidak sesekali pudar.

“Saksikan sejarah perjuangan UMNO berdepan pelbagai persimpangan berliku. Namun, tidak pernah tersilap memilih haluan sementelahan kesatuan para pendokongnya,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast