Mohd Azroy Azhar

 

JOHOR BAHRU – Pengalaman seorang guru agama yang pernah disahkan menghidap Covid-19 lima bulan lalu kini dikongsi bersama pesakit lain apabila dia kini menjadi sukarelawan Pertubuhan Ihsan Johor dengan memberi ceramah motivasi kepada pesakit Covid-19 yang ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Stadium Tertutup Pasir Gudang.
 
Mohd Azroy Azhar berkata, ketika kali pertama beliau menjejakan kaki di PKRC, tidak dinafikan terbit rasa kecewa apabila disahkan positif Covid-19.
Lantas beliau tekad untuk berfikiran positif unruk menghadapi ujian yan berat itu dan mahu melakukan sesuatu apabila kembali sihat.
 
“Kali pertama sampai sini memang saya dapat rasakan tak bersemangat, sedih dan macam-macam lagi. Saya sampai, saya tengok persekitaran, saya perhatikan kawan-kawan di sini, mereka sebenarnya perlukan sokongan sesama sendiri.
 
“Jadi dari situ saya terfikir saya mahu buat sesuatu untuk kebaikan bersama, jadi timbul minat untuk saya jadi sukarelawan bagi berkongsi ilmu terutama ilmu agama yang saya ada,” katanya ketika ditemui di PKRC Pasir Gudang, di sini, hari ini.
Mohd Azroy Azhar yang dahulunya bekas pesakit Covid-19 kini menjadi sukarelawan Ihsan Johor di PKRC Pasir Gudang

Bagi Mohd. Azroy ilmu kerohanian sangat penting yang membuatkan beliau memberitahu mereka yang dijangkiti virus Covid-19 bahawa semangat yang tinggi diperlukan.

Jelasnya, beliau bukan sahaja memberi motivasi kepada penghuni di PKRC tetapi juga menyusun beberapa aktiviti kerohanian bersama individu lain  yang berada di pusat berkenaan.
 
“Selain ceramah, kita adakan juga selawat-selawat perdana, bacaan-bacaan ayat-ayat suci. Kerana kita perlu ada ilmu bagaimana untuk melawan penyakit yang masih baru untuk negara kita,” ujar lelaki berusia 29 tahun itu.
Bapa kepada seorang anak yang mengajar di Sekolah Agama Dato Abdullah Isa, Kampung Melayu Majidee, di sini memberitahu, hampir setiap hari beliau akan mluangkan masa di PKRC bagi membantu sukarelawan Ihsan Johor dan penghuni di dalam PKRC.
“Setidak-tidaknya petang saya mesti datang, kerana pagi saya ada PDPR.
“Saya akan buat apa sahaja kerja yang saya boleh buat kerana apa kelebihan yang saya ada, Insyallah pasti saya akan gunakan sebaiknya di sini,”katanya.
Walaupun baru empat bulan menjadi sukarelawan di PKRC, pelbagai perancangan  dilakukan bagi mengelakan penghuni di pusat itu berasa bosan.
“Saya pernah duduk di dalam, jadi memang kami makan tidur bangun makan. Itulah kebiasaan.
“Jadi aktiviti kerohanian yang sesuai memang kita nak perbanyakan lagi dengan penglibatan pihak tertentu. Setidaknya ada pengisian untuk mereka,”katanya.-Malaysiagazette