KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerusi sayap partinya, Wanita Keadilan berjaya melakukan reset iaitu ‘membersihkan’ parti itu dari golongan pengkhianat.
Ketua Wanita Keadilan, Fuziah Salleh berkata, sejak dikhianati menerusi Langkah Sheraton, parti itu dapat menyusun semula kepimpinannya dengan fikrah dan kefahaman baharu erti sebuah perjuangan serta azam lebih utuh.
“Hari ini, kita boleh katakan good riddance atau boleh pergilah kepada yang telah khianat.
“Pinggan tak retak, nasi tak dingin, kamu tak hendak, kami pun tak ingin,” katanya dengan serangkap pantun ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Wanita Keadilan Pusat pada Kongres Wanita Nasional 2020 hari ini.
Langkah Sheraton yang menyaksikan pertukaran kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN) dicetuskan oleh beberapa pemimpin parti politik termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang ketika itu Timbalan Presiden PKR.
Dalam pertemuan bersama pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) selepas keluar dari PH dan Barisan Nasional (BN) yang diketuai UMNO, mereka termasuk beberapa Ahli Parlimen PKR sepakat menubuhkan kerajaan baharu, sekali gus menafikan PH yang baru 22 bulan memerintah.
Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata, negara menyaksikan kesengsaraan dan kemelaratan akibat pandemik, begitu juga parti itu turut terpalit dengan episod pengkhianatan.
“Sepanjang tahun ini dan tahun lalu, kita diuji dengan isu besar melibatkan krisis kepimpinan negara, kelembapan ekonomi, kesenjangan sosial, layanan tidak adil, wujud dua darjat antara pemerintah dan rakyat, kemiskinan yang melarat serta pembedilan terhadap umat manusia di bumi Palestin.
“Sesungguhnya, negara kita malah satu dunia benar-benar diuji dengan sebesar-besar ujian.
“Justeru, kongres hari ini merupakan mekanisme terbaik untuk melakukan muhasabah dan penilaian kendiri, melihat kembali perjalanan parti yang kita sayang serta hala tujunya khusus bagi pergerakan wanita,” katanya.
Katanya, parti itu bersama sayapnya menempuh arus yang memerlukan setiap anggota cerdas dalam menanggapi keadaan dengan segera, di samping mengukuhkan saf kepimpinan dan memperteguh rukun persahabatan dalam wadah perjuangan.
Kini, kata beliau, kebangkitan Wanita Keadilan telah disaksikan di seluruh negara termasuk di pedalaman Sabah dan Sarawak, yang menyaksikan pelbagai golongan muda turut serta dalam arus perdana perjuangan parti.
“Ini bermakna kita telah bangkit semula dan berjaya reset sehingga kepada menyediakan barisan pelapis. Mereka ini akan diacu dan ditunjuk ajar, dilatih, dibimbing serta dimentor sebagai pewaris untuk meneruskan perjuangan.
“Selama 10 bulan saya mengambil alih tampuk kepimpinan, sudah menyaksikan wanita bangkit semula pasca pengkhianatan di seluruh negara.
“Dari Perlis ke Sabah, dari cabang di kota seperti Ampang sehingga cabang di desa seperti Jerlun pun kita sudah membuktikan mampu bangkit, mampu reset dan arah serta hala tuju kita pada hari ini lebih jelas serta utuh berbanding sebelum pengkhianatan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette