DYMM Permaisuri Johor,Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah berangkat melawat lima keluarga di Mukim Endau dan Tenglu di Mersing

JOHOR BAHRU – Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah menyeru mereka yang berkemampuan untuk sama-sama membantu hospital-hospital atau golongan miskin yang ditimpa kesusahan ketika negara berdepan pandemik Covid-19.

Raja Zarith Sofiah berkata, pandemik Covid-19 menyaksikan terdapat jurang perbezaan antara mereka yang hidup senang dengan mereka yang kurang bernasib baik.

Selain itu, katanya, terdapat individu yang sanggup membantu secara sukarela dan ada juga yang lebih suka untuk melihat.

“Mencari kesalahan semata-mata tidak akan mengurangkan bilangan pesakit atau tekanan dihadapi keluarga yang terpaksa bersempit dalam flat satu bilik mahupun mereka yang kehilangan pendapatan dan buntu bagaimana mencari nafkah untuk keluarga.

“Pihak hospital merupakan entiti yang paling terkesan. Lihatlah saja kontena-kontena yang terpaksa diubah suai menjadi bilik mayat serta cabaran lain yang kita lihat sepanjang tahun lalu.

“Apa salahnya kita tunjukkan, walaupun sedikit, penghargaan atas segala pengorbanan mereka dalam merawat ataupun menyelamatkan pesakit dari ambang kematian?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, keluarga Diraja Johor akan meneruskan bantuan yang telah dilaksanakan sekian lama kepada golongan susah, kehilangan pekerjaan atau bergaji kecil.

Menurutnya, inilah masanya semua ahli masyarakat mengambil tindakan dan membantu berbanding terus menuding jari mencari kesalahan pihak berkuasa semata-mata.

Katanya, walaupun rakyat Malaysia berhak untuk mengkritik dan mempersoalkan tindak tanduk keputusan yang diambil kerajaan, mereka juga wajar bermuhasabah tentang kemampuan diri masing-masing.

“Kita mesti menerima hakikat bahawa peningkatan mendadak kes Covid-19 mempunyai asasnya dalam keengganan lapisan masyarakat kita untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Marilah kita membantu antara satu sama lain, terutamanya petugas barisan hadapan dan mereka yang dalam kesusahan,” katanya. – Malaysiagazette