Mohamed Hilmi Che Ramli, Timbalan Presiden Persatuan Wira Air

KUALA LUMPUR – Semua operator bekalan air diminta agar sentiasa peka terhadap peningkatan permintaan air sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang sedang berkuatkuasa ketika ini.

Timbalan Presiden Persatuan Wira Air, Mohamed Hilmi Che Ramli berkata, pihaknya khuatir gangguan bekalan air akan menjejaskan rutin harian pengguna sepanjang tempoh berkenaan.

Katanya, Forum Air – Wira Air juga memohon agar semua operator tidak mengamalkan polisi ‘Tutup Pintu’ terhadap aduan pengguna.

“Sering kali terdapat aduan oleh pengguna yang mengatakan pihak operator tidak responsif terhadap aduan mereka.

“Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku…pihak operator perlu mengambil tanggungjawab mereka sebaik mungkin dan berusaha mewujudkan suasana yang harmoni di antara mereka dan pengguna sebagai pelanggan utama perkhidmatan mereka,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohamed Hilmi berkata, sebagai pihak yang mewakili pengguna air di Malaysia, Forum Air – Wira Air, sentiasa komited dalam memastikan hak – hak pengguna air sentiasa terjamin dan dijaga.

Ujarnya, Forum Air – Wira Air percaya peningkatan aktiviti di rumah terutama penggunaan air akan meningkat sepanjang pelaksanaan PKP itu.

“Selain pengguna air yang perlu berwasapada akan kenaikan bil bagi bulan ini pihak operator juga perlu peka akan permintaan yang meningkat dengan mendadak ini agar bekalan air yang disalurkan mencukupi dan tidak menggangu kehidupan pengguna,” tambahnya. – MalaysiaGazette