Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Selepas desakan demi desakan menuntut kerajaan Perikatan Nasional (PN) memanggil Parlimen bersidang walaupun darurat sedang dikuatkuasakan , kerajaan hari ini memaklumkan sedang mengkaji pelaksanaan sidang secara hibrid.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata pihaknya sedang mengkaji kaedah dan pendekatan unuk memungkinkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara bersidang.

“Langkah ini diambil bagi memastikan Parlimen akan dapat berperanan sebagaimana sewajarnya walaupun negara masih berdepan dengan pandemik Covid-19 serta program pemulihan masih berjalan di semua peringkat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Takiyuddin berkata perkara itu diputuskan dalam satu mesyuarat yang diadakan diantara kedua-dua Yang DiPertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta Timbalan-Timbalan Yang DiPertua dewan berkenaan.

Mesyuarat yang diadakan secara maya itu antaranya membincangkan perkara-perkara berkaitan persiapan ke arah pelaksanaan Parlimen secara hibrid yang merangkumi aspek-aspek infrastruktur, teknikal, undang-undang, peraturan dan kewangan.

“Mesyuarat hari ini pada dasarnya bersetuju dengan pelan konsep Parlimen Hibrid ini diadakan yang berasaskan penyertaan Ahli-ahli Parlimen secara kehadiran fizikal dan juga secara maya.

“Mesyuarat turut memutuskan supaya kajian lebih terperinci dibuat segera bagi menyediakan kertas lengkap yang akan diangkat dalam waktu terdekat untuk pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri,” kata Takiyuddin lagi.

Sebelum ini, sebilangan besar Ahl Parlimen antaranya Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan serta Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak agar sidang Dewan Rakyat dibuka selepas ditangguhkan selama lima bulan.

Artikel berkaitan:

Malah Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Seri Azalina Othman Said Selasa lalu turut berkata pembukaan semula Parlimen akan membantu kerajaan dalam memerangi wabak Covid-19 dengan meningkatkan pemahaman rakyat mengenai dasar berkaitan wabak itu serta kepercayaan mereka terhadap kerajaan.

Untuk rekod, kali terakhir sidang Dewan Rakyat diadakan adalah pada Disember tahun lalu selepas 29 hari bersidang.

Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 pada ketika itu meluluskan 10 Rang Undang-Undang (RUU) termasuk RUU Perbekalan 2021. – MalaysiaGazette