Penerima vaksin, Ho Siew Wah, 52, menunjukkan aplikasi MySejahtera selepas menerima vaksin pada Program Imunisasi Kebangsaan Untuk Komuniti OKU Penglihatan di Lembah Klang di Kompleks MAB, Brickfields, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 04 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Sebagai insan yang menghadapi masalah penglihatan, Ho Siew Wah berhadapan dengan cabaran mematuhi penjarakan fizikal semasa pandemik Covid-19.

Ini kerana beliau bergantung kepada deria sentuhan dalam pergerakannya dan perlu mengelak daripada tersentuh dengan individu lain.

Berikutan itu Siew Wah, 52, yang bergantung dengan pengangkutan awam untuk ke tempat kerja akan memastikan beliau menggunakan cecair nyah kuman (hand sanitizer) dan membasuh tangan dengan lebih kerap daripada orang lain.

Meskipun bimbang dengan keselamatan dirinya, namun beliau yang bekerja sebagai operator telefon tidak mempunyai pilihan lain kecuali menjaga kebersihan tangannya pada tahap maksimum.

“Pada saya sebagai OKU penglihatan apa yang menyukarkan kami adalah apabila kami ini sangat selalu menyentuh untuk merasa apa-apa, untuk bergerak, berkait rapat dengan sentuhan, jadi dalam waktu pandemik ini kami sangat perlu menjaga kebersihan tangan kami takut dijangkiti dengan wabak,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kompleks Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB), Brickfields hari ini.

Siew Wah adalah antara 200 penerima vaksin dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan yang menerima vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) hari ini.

Beliau yang bimbang terhadap jarum suntikan berasa lega kerana tidak berasa sakit apabila disuntik vaksin.

“Saya tidak ada rasa apa-apa selepas divaksin, tidak rasa sakit apa-apa atau kesannya. Walaupun sebelum ini saya takut, saya ada ketakutan terhadap jarum tapi sebenarnya tidak ada apa-apa hanya rasa seperti digigit semut,” ujarnya.

Khairul Edrin Shahrom, 27, bercakap pada Program Imunisasi Kebangsaan Untuk Komuniti OKU Penglihatan di Lembah Klang di Kompleks MAB, Brickfields, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 04 JUN 2021.

Sementara itu, Khairul Edrin Shahrom,27 daripada Sepang yang senasib dengan Ho, menggesa rakan komunitinya yang lain untuk mendaftar segera sebagai penerima vaksin Covid-19.

Katanya, vaksin ini merupakan insiatif yang perlu diambil setiap rakyat dalam negara demi kebaikan diri sendiri.

“Saya memang teruja untuk dapatkan vaksin, tunggu daripada bulan Februari diumumkan sahaja kerajaan memang tidak sabar. Untuk di luar sana, tidak perlu takut vaksin untuk kebaikan kita semua,” katanya.

Tidak perlu bimbang, sebaliknya menurut Edrin, pihak pengurusan PPV di Kompleks MAB sentiasa memudahkan urusan OKU penglihatan sepanjang proses pemberian vaksin berlangsung.

Muhammad Ismail, 47, bercakap pada Program Imunisasi Kebangsaan Untuk Komuniti OKU Penglihatan di Lembah Klang di Kompleks MAB, Brickfields, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 04 JUN 2021.

Seorang lagi OKU penglihatan Muhamad Ismail, 47, berkata, beliau mengambil vaksin demi dua anak dan keluarganya.

Beliau yang bekerja sebagai operator telefon lebih 20 tahun perlu sentiasa sihat dan terhindar daripada wabak Covid-19 demi dua orang anak dan isterinya.

“Lebih baik mendaftar untuk menerima vaksin, yang penting kita sekarang adalah vaksin,” katanya ringkas. – MalaysiaGazette