Seramai 1,127,336 orang telah melangkapkan dua dos suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) setakat 4 Jun lalu.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seramai 1,127,336 orang telah melangkapkan dua dos suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) setakat 4 Jun lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi catatan di Twitter berkata, seramai 2,293,377 daripadanya telah menerima dos pertama.

Ujarnya, perkembangan terkini itu menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini sebanyak 3,420,713 dos.

Katanya, Selangor merupakan negeri tertinggi menerima vaksin iaitu 145,871 untuk kedua-dua dos manakala kedua pula  Sarawak yang telah memberikan 119,263 dos vaksin Covid-19 yang lengkap.

Diikuti dengan Perak (105,432 dos) dan Kuala Lumpur (101,821 dos).

Untuk rekod, Fasa kedua PICK bermula April hingga Ogos membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya.

Manakala fasa ketiga yang dijadual pada Mei tahun ini hingga Februari 2022 melibatkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih. – MalaysiaGazette