Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad menunjukkan plakad Pentas Rakyat yang menjadi tema Kongres Nasional di Ibu Pejabat Keadilan, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini. Foto HAZROL ZAINAL,- Gambar fail.

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan menganjurkan hari terakhir Kongres Nasional esok diarahkan menangguhkan acara itu oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

MKN telah mengarahkan penangguhan menerusi surat kepada parti itu semalam, kata Pengarah Kongres PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.

“PKR telah menerima surat dari MKN pada 4 Jun 2021 dan makluman secara lisan dari pihak Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada hari yang sama meminta Kongres Nasional parti yang dijadualkan pada 6 Jun 2021 ditangguhkan.

“Arahan terbaru MKN ini bertentangan dengan pendirian mereka yang telah memberi persetujuan dengan perjalanan kongres secara dalam talian sepenuhnya melalui surat bertarikh 27 Mei,” katanya hari ini.

Oleh yang demikian, Majlis Pimpinan Pusat PKR telah mengambil keputusan untuk menuruti arahan MKN dan menangguhkan Kongres Nasional PKR.

“Butiran keputusan ini akan diumumkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam amanat khas esok menerusi Facebook parti pukul 11 pagi esok.

“Beliau akan turut menyentuh isu ekonomi dan Covid-19 serta perkembangan politik terkini,” kata Nik Nazmi.

Kongres Nasional 2020 itu yang bermula semalam digerakkan dengan KOngres Wanita dan kemudiannya Kongres Angkatan Muda Keadilan yang berakhir pukul 2 petang tadi.

Dalam kenyataan itu, parti pimpinan Ketua Pembangkang itu berkata, MKN sebelum ini tidak mempunyai halangan untuk parti itu menjalankan kongresnya secara dalam talian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast