KUALA LUMPUR – Sejak 1 April lalu atau Minggu Epidemiologi (ME) ke-13. Malaysia berdepan dengan trend peningkatan mendadak kes baharu dan kematian Covid-19.
Lebih membimbangkan majoriti kes baharu dan kematian Covid-19 adalah kes-kes-kes sporadik iaitu kes yang dikesan di dalam komuniti yang tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kes atau kluster sedia ada.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan analisa yang dijalankan mendapati jumlah kumulatif kes baharu Covid-19 yang dilaporkan pada ME ke-13 iaitu sehingga 3 April 2021 adalah sebanyak 8,968 kes dan 52 peratusnya adalah kes sporadik.
Pada ME ke-19 pula, jumlah kes baharu yang diterima adalah sebanyak 29,386 kes dan 77.7 peratus daripadanya kes sporadik.
“Negara kemudian merekodkan kes kumulatif mingguan tertinggi pada ME ke-21 iaitu sebanyak 53,419 kes, yang mana 85.1 peratus adalah merupakan kes sporadik dan trend kes-kes sporadik kekal tinggi pada ME ke-22 (sehingga 5 Jun 2021), dengan jumlah kes baharu Covid-19 yang dilaporkan adalah sebanyak 52,040 kes (84.3 peratus adalah kes sporadik).
“Bagi kumulatif kes kematian Covid-19 pula, didapati semakin meningkat dari minggu ke minggu, yang mana kes kematian yang dilaporkan pada ME ke-13 iaitu sehingga 3 April 2021 adalah sebanyak 35 kes (26 daripadanya kes sporadik).
“Pada ME ke-19 adalah sebanyak 209 kes (187 kes sporadik) dan jumlah ini melonjak dan pada ME ke-22 iaitu sebanyak 641 kes kematian Covid-19(559 kes sporadik),” katanya menerusi kenyataan perkembangan harian Covid-19 di sini.
Tambah beliau, salah satu faktor yang menyumbang kepada situasi tersebut adalah kemunculan varian-varian baharu dalam komuniti dengan kadar kebolehjangkitan dan kematian yang lebih tinggi, selain penularan Covid-19 secara lebih meluas di dalam komuniti berbanding ME yang sebelum ini.
Menyedari hakikat ini yang agak membimbangkan, KKM menyeru masyarakat untuk mengambil serius situasi ini,yang mana penularan Covid-19 adalah dalam komuniti termasuklah tempat beli belah, tempat kerja dan sebagainya.
“Masyarakat perlu faham sesiapa sahaja boleh dijangkiti Covid-19 pada bila-bila masa. tidak kira di mana mereka berada.
“Akibatnya, kita dapat melihat peningkatan kes-kes sporadik dan kematian akibat kes-kes sporadik ini di dalam komuniti.
“Masyarakat perlu terus secara konsisten dalam mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) PKP yang ditetapkan mengelak jangkitan terus bertambah teruk.
“Pemakaian pelitup muka berganda dan pelindung muka (face shield) sangat digalakkan ketika di tempat sesak dan ramai,” tegasnya sambil menyeru rakyat supaya kekal di rumah jika tiada keperluan berurusan di luar.-MalaysiaGazette
















