empat penjawat awam antara 32 dicekup dan dikompaun kerana ingkar PKP penuh dan berparti liar di hotel mewah awal pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Polis menahan 32 individu, termasuk empat penjawat awam, yang leka berpesta dalam satu serbuan dalam satu serbuan awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, hasil adual yang diterima, pada jam 2 pagi pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan Bahagian Siasatan Jenayah Dang Wangi menyerbu sebuah bilik di hotel mewah di Jalan Pinang, di sini.

“Hasil serbuan polis berjaya menahan kesemua suspek 32 orang termasuk empat penjawat awam dan lapan warga asing yang dipercayai menjalankan private party.

“Seramai 20 orang warga tempatan berkenaan dikeluarkan kompaun atas kesalahan di bawah Seksyen 21 A, Akta 342 dan Peraturan 17(1) PPPDPPB (No.2) 2021.

“Manakala empat penjawat awam dan juga lapan warga asing itu dibuka kertas siasatan di bawah Seksyen 21A Akta 342 dan Peraturan  17(1) PPPDPPB (No.2) 2021 kerana melakukan aktiviti terlarang (aktiviti sosial/perhimpunan) dalam tempoh PKP,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, siasatan dan pemeriksaan lanjut di bilik hotel berkenaan menemukan polis dengan satu paket disyaki dadah ketamin daripada salah seorang peserta parti itu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, ujarnya.

“Kesemua suspek adalah berusia 20 hingga 40-an dan 13 orang daripadanya adalah wanita (sembilan tempatan) manakala lapan warga asing itu terdiri daripada warga Indonesia, Belarus dan Ukraine termasuk seorang berstatus pelajar kolej swasta.

“Siasatan mendapati mereka menyewa bilik hotel berkenaan dengan kadar sewa antara RM500 hingga RM700 satu malam,” jelasnya.

Menurut Mohamad Zainal, kesemua 22 warga tempatan masing-masing dikompaun sebanyak RM2,000 manakala polis membuka kertas siasatan bagi penjawat dan warga asing itu yang akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk dituduh di mahkamah. -MalaysiaGazette