Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo. Foto MOHD ADZLAN, 10 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur mengesan pihak tidak bertanggungjawab yang menyalahgunakan logo PDRM dalam satu klip video yang ditularkan menerusi aplikasi WhatsApp dan TikTok dengan mendakwa individu yang keluar rumah selepas jam 7 petang akan ditangkap polis.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Deputi Komisioner Datuk Yong Lei Choo berkata, klip video dikesan hari ini oleh pasukannnya tular dalam media sosial hari ini adalah palsu.

“Hasil semakan mendapati klip video palsu tersebut menggunakan screenshot tajuk artikel dari laman web Suara Sarawak bertajuk “Tiada kompromi lagi, keluar rumah selepas jam 7 petang kena tangkap” dan artikel tersebut didapati telah disiarkan atas talian pada 24 Mac 2020 lalu.

Screenshot artikel berkenaan telah dipinda oleh individu yang tidak bertanggungjawab dengan memasukkan logo PDRM, perkataan “Diraja Malaysian IPK KL Polis” yang ternyata salah.

“Manakala audio yang menyatakan bermula pada hari ini, sesiapa yang keluar rumah selepas jam 6.00 petang akan ditangkap, kecuali bagi mereka yang mempunyai urusan di klinik / hospital dan hal-hal yang melibatkan kecemasan seperti membawa orang sakit,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Menurut Lei Choo, orang ramai dibenarkan keluar rumah untuk membeli keperluan asas dan makanan pada waktu kedai beroperasi sehingga jam 8.00 malam.

Tambah beliau, ekiranya terdapat sebarang pertanyaan, orang ramai diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan. -MalaysiaGazette