Anthony Loke

KUALA LUMPUR – Sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk membincangkan isu logo untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Ahli Jawatankuasa, Majlis Presiden Pakatan Harapan,

Anthony Loke berkata, isu ini sebenarnya telah dibincang dan dibahaskan secara panjang lebar dalam Retreat Pakatan Harapan di Port Dickson pada bulan April yang lalu.

Menurunya, semua pihak dalam PH tahu pendirian masing-masing dan semua parti komponen sudah capai “general understanding” dalam perkara ini.

Apabila tiba masanya, maka Majlis Presiden PH akan buat keputusan bersama dalam perkara ini, katanya.

Lantaran itu, tak perlulah mana-mana pihak mengungkit perkara ini secara terbuka dan bertelagah sesama sendiri kerana ia tidak akan ke mana-mana.

”Fokus kita sekarang perlu diletakkan sepenuhnya ke arah membantu rakyat dalam tempoh yang agak mencabar sekarang,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas cadangan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Akmal Nasir agar PH menggunakan logo parti itu dalam PRU15.

Bagaimanapun, cadangan itu disanggah oleh Pemuda DAP dan Parti Amanah Negara yang mahukan PH menggunakan logo pakatan tersebut.

Tegas Loke, dalam situasi semasa PH perlu memainkan peranan supaya setiap rakyat Malaysia mendapat vaksin dalam kadar yang segera. Bagi tekanan kepada kerajaan supaya kadar vaksinasi dipertingkatkan setiap hari. Pastikan lebih banyak PPV dibuka. Bantu rakyat yang menghadapi masalah pengangkutan untuk pergi ke PPV.

Menurutnya, ramai rakyat yang susah kerana hilang punca pendapatan dan kekurangan makanan di rumah dan sebagai pemimpin politik dan wakil rakyat,adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga kebajikan rakyat dan pastikan tiada yang kebuluran di kawasan masing-masing.

PH juga katanya perlu fokuskan tenaga dan semangat kerjasama untuk memastikan darurat ditamatkan segera dan Parlimen bersidang semula.

”Sudah nampak ada “cahaya di hujung terowong”. Kita kena bersatu padu dalam bab ini untuk menghidupkan semula demokrasi di Malaysia,” tambah beliau lagi.

Tegas Loke, perkara-perkara tersebut diperlukan oleh rakyat sekarang.

Ujarnya, soal strategi pilihanraya dan logo apa yang paling winnable boleh dikemudiankan dan apabila sampai masanya nanti, PH akan bertarung habis-habisan untuk mengembalikan mandat rakyat. – MalaysiaGazette