Sekumpulan harimau yang berjaya dirakam oleh kamera-perangkap. - Foto : Ihsan KP Perhilitan

GEORGE TOWN – Selepas kepupusan spesies Badak Jawa dan Badak Sumatera pada tahun lalu, negara sekali lagi berdepan dengan ancaman kehilangan Harimau Malaya.

Ia terbukti apabila populasi haiwan itu atau nama saintifiknya Panthera Tigris Jacksoni kini kurang 200 ekor sahaja dalam negara sekali gus tersenarai sebagai spesis hidupan liar paling terancam.

Menurut Penyelidik Universiti Malaysia Terengganu dan Felo Akademi Sains Malaysia, Prof. Datuk Dr. Mohd Tajuddin Abdullah pengurangan populasi itu sekali gus memberi bayangan Harimau Malaya bakal mengikut jejak langkah Badak Sumatera – lenyap dalam senarai hidupan liar kita.

Prof. Datuk Dr. Mohd Tajuddin.

Jelas beliau, Harimau Malaya menduduki tangga teratas di dalam hierarki utama rantaian makanan sistem ekologi dan kepupusan spesies ini akan memberikan kesan terhadap keseluruhan sistem ekologi kawasan hutan di Malaysia.

“Mengikut laporan pihak berkuasa sebanyak 45 hidupan liar itu mati akibat kemalangan jalanan, pemburuan haram, konflik serta jangkitan penyakit dalam tempoh 12 tahun iaitu bermula pada tahun 2008 hingga 2019.

“Berdasarkan data ini, kita seharusnya berasa bimbang hidupan liar yang menjadi ikon kebanggaan negara ini semakin berkurangan dari tahun ke tahun dan kemungkinan ia diancam kepupusan sekiranya tiada tindakan segera diambil,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Rakaman gambar menujukkan seekor Harimau Malaya melintasi laluan hutan tropika dalam negara. Foto : Ihsan KP Perhilitan

Tambah Mohd Tajuddin, situasi itu memberi gambaran jelas, sekiranya tiada sebarang langkah pemuliharaan segera, Harimau Malaya mungkin hanya tinggal nama untuk rujukan anak muda pada masa depan.

Sementara itu, mengulas mengenai pengura­ngan populasi Harimau Malaya, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, ia berpunca daripada beberapa faktor.

Ia termasuk pengurangan kawasan hutan primer yang menjadi habitat utama dan keliaran haiwan berkenaan terbatas akibat akti­viti pembukaan hutan dan guna tanah serta pemburuan haram.

Datuk Abdul Kadir.

Selain faktor tersebut, katanya, Harimau Malaya turut menjadi sasaran utama aktiviti pemburuan dan perdagangan haram disebabkan permintaan yang tinggi di pasaran gelap.

“Sekitar tahun 1990-an, terdapat sekurang-kurangnya 500 ekor Harimau Malaya hidup liar di seluruh hutan di Semenanjung Malaysia.

“Bagaimanapun, jumlah itu semakin berkurangan dan dianggarkan ketika ini hanya kira-kira 200 ekor sahaja masih kekal di habitat masing-masing,” ujarnya.

Pergelangan kaki harimau sering terputus akibat terperangkap dalam jerat dawai dipasang untuk menangkap rusa. Foto : Ihsan KP Perhilitan

Tambah Abdul Kadir, penggunaan teknologi IR 4.0 juga merupakan satu teknologi yang perlu ada dalam membantu meningkatkan populasi Harimau Malaya termasuk hidupan liar lain.

“Kesinambungan kerjasama di antara kerajaan Persekutuan dan negeri yang berterusan juga mampu menambahbaik perundangan dan peraturan sedia ada bagi mencegah penurunan populasi Harimau Malaya dalam negara.

“Selain itu, orang awam juga perlu menjadi mata dan telinga untuk menyalurkan maklumat bagi membenteras pemburuan haram di kawasan hutan dan pinggir hutan,” jelas Abdul Kadir. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast