Najib Razak

KUALA LUMPUR – Kenyataan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Saiful Wan Jan yang menyokong kerajaan kerana melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh mendapat perhatian Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, kenyataan Wan Saiful itu jelas bertentangan dengan kata-kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 23 Mei lalu.

“Lajunya u-turn si Ketua Penerangan (Wan Saiful Wan Jan) PPBM ni. Langsung tak tekan brek.

“Presiden dan PM kamu yang berkali-kali tolak buat lockdown,” kata Najib di Facebook  hari ini.

Dalam pada itu, Najib menegaskan, UMNO dan beliau sudah beberapa kali menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk melaksanakan PKP Penuh namun gesaan itu tidak didengari.

“Saya dan UMNO pula yang tekan beberapa kali untuk buat. Lepas buat, dia boleh pula puji kerajaan PN. Kata ini adalah langkah amat tepat,” kata Najib lagi.

Najib merujuk kepada kenyataan Wan Saiful yang berkata keputusan kerajaan melaksanakan PKP penuh mulai 1 Jun lalu adalah tepat.

Malah kata Wan Saiful, pelaksanaan itu telah mula menunjukkan hasil apabila kes positif dilihat semakin menurun.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi (PTPTN) itu berkata, penurunan kes Covid-19 menafikan segala tuduhan yang dilemparkan seolah-olah kerajaan tidak mempunyai rancangan yang terperinci.

“Realitinya, kita telah mula melihat hasil positif daripada tindakan kerajaan. Walaupun ada pihak yang tak habis-habis merungut untuk meraih kepentingan politik peribadi, data menunjukkan bahawa kita berada di jalan yang betul dan boleh berjaya jika terus mematuhi segala nasihat yang dikeluarkan oleh kerajaan,” kata Wan Saiful dalam satu kenyataan.

Muhyiddin pada 23 Mei lalu dilaporkan berkata, pelaksanaan PKP secara penuh memberi kesan yang besar kepada ekonomi sekaligus terhadap kehidupan rakyat di negara ini. – MalaysiaGazette