Sebanyak 10 pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan mulai Sabtu ini meibatkan sebahagian besarnya di Sabah.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lapan kawasan di Sabah dan Perak bermula 9 hingga 22 Jun ini.

Menteri Kanan (Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di Sabah membabitkan lima lokaliti di Tawau iaitu Kampung Tanjung Batu Darat, Taman Apas Permai, Bandar Sri Indah, Taman Megah Jaya dan Jalan Budi Sri Tanjung.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan masing-masing 10 kes positif Covid-19 di Kampung Tanjung Batu Darat dan Jalan Budi Sri Tanjung manakala Taman Apas Permai (18 kes), Bandar Sri Indah (36 kes) dan Taman Megah Jaya (14 kes).

“Pelaksanaan PKPD dilakukan bagi menyekat pergerakan keluar masuk ke lokaliti terbabit sekali gus mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 dari kawasan berisiko ke komuniti lain,” katanya menerusi kenyataan  hari ini.

Ismail Sabri berkata, PKPD di Sabah turut dilaksanakan di Taman Perdana, Lahad Datu dan Kampung Narandang, Kudat.

Ia berikutan Taman Perdana merekodkan lapan kes dengan kadar positiviti 12.1 peratus, manakala 16 kes di Kampung Narandang dengan kadar positiviti 51.61 peratus.

Sementara itu, beliau berkata, PKPD di Perak pula membabitkan Politeknik Sultan Azlan Shah, Mualim yang melaporkan peningkatan kes positif Covid-19 ketara dalam tempoh singkat.

“KKM melaporkan sebanyak 37 kes positif direkodkan daripada 173 ujian saringan yang dilakukan dengan kadar positiviti 21.4 peratus,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri memaklumkan PKPD yang dilaksanakan di tiga mukim di Lipis, Pahang; dua  di Putatan, Sabah dan masing-masing satu kawasan di Tawau, Sabah serta Bera, Pahang tamat seperti dijadualkan. – MalaysiGazette