Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

KUALA LUMPUR – Dakwaan bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dr Ong Kian Ming bahawa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak berbuat apa-apa tentang beberapa isu melibatkan kementerian itu adalah tidak benar.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya menafikan kementerian tersebut tidak mengambil kira langsung tentang isu yang diketengahkan oleh Kian Ming.

“Dakwaan beliau saya tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan bagi menjelaskan isu berkaitan penjualan arak dan rokok ini adalah tidak benar sama sekali.

“Pada 31 Mei 2020, saya telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi melalui semua media bagi menjelaskan senarai perkhidmatan perlu sektor Perdagangan yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula dari 1 Jun hingga 14 Jun 2021 di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kenyataan Alexander itu, Kian Ming dilaporkan mendakwa terdapat kekeliruan terhadap larangan penjualan arak dan kebenaran menjual rokok.

Kian Ming juga mendakwa bahawa Alexander tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung perkara ini.

“Beliau juga telah mendakwa KPDNHEP mengambil tindakan berdiam diri di dalam isu bengkel kereta yang turut menimbulkan kekeliruan di kalangan pemilik perniagaan, yang tidak pasti samada mereka diberikan kebenaran beroperasi.

“Ini menyebabkan banyak bengkel kenderaan ditutup dan menyusahkan ramai pihak termasuk pengguna,” kata Alexander lagi.

Mengulas lanjut Alexander berkata, senarai perkhidmatan perlu yang diberi kebenaran operasi telah dinyatakan dengan jelas, selain SOP yang perlu dipatuhi oleh semua pihak terlibat.

Katanya, pihaknya telah menerangkan bahawa kedai serbaneka atau mini market dan kedai runcit dikategorikan sebagai essential dan diberikan kebenaran beroperasi.

“Ini membawa maksud segala barangan yang dijual di kedai serbaneka ini boleh dijual kepada pengguna, termasuklah arak dan rokok.

“Di premis pasar raya dan pasar raya besar, penjualan barang terhad kepada makanan dan minuman / keperluan asas, farmasi / kedai penjagaan diri dan kedai serbaneka / pasar raya dan restoran (hanya untuk dibawa pulang).

“Seperti di kedai serbaneka, minuman keras juga turut dijual bersama-sama barang keperluan lain di bahagian jualan minuman pasar raya dan oleh itu, ia boleh dijual kepada pengguna,” katanya.

Alexander berkata, hanya premis yang menjual produk minuman keras tidak dibenarkan beroperasi sepanjang PKP penuh.

Malah perkhidmatan bengkel kenderaan, penyelenggaraan dan alat ganti disenaraikan sebagai aktiviti yang diberi kebenaran beroperasi dengan kapasiti pekerja dihadkan sebanyak 60% sahaja.

Bagaimanapun, perkhidmatan cuci kenderaan tidak dibenarkan. – MalaysiaGazette