Kit jersi bola sepak pasukan Ukraine untuk kejohanan Euro 2020 telah mencetuskan kemarahan Rusia gara-gara peta lakaran merangkumi Crimea. - Agensi

LONDON – Kit jersi bola sepak pasukan Ukraine untuk kejohanan Euro 2020 telah mencetuskan kemarahan Rusia gara-gara peta lakaran merangkumi Crimea.

Ukraine memperkenalkan jersi rasmi pasukannya untuk Euro 2020 yang akan membuka tirai 13 Jun ini.

Jersi itu ditampal dengan peta negara itu beserta dengan lakaran Crimea yang berada di bawah jajahan Moscow dengan slogan Glory to Ukraine.

Rusia merampas Semenanjung Crimea dari Ukraine pada tahun 2014 dan dianggap sebahagian daripada wilayah yang dinafikan di peringkat antarabangsa.

Justeru rentetan tercetusnya jersi kontroversi itu, ramai ahli parlimen Rusia menyifatkan ia sebagai satu provokasi politik.

Dalam kenyataan kepada BBC, Kesatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) berkata, jersi rasmi pasukan Ukraine telah diluluskan oleh badan kawal selia berkenaan berdasarkan peraturan yang ditetapkan.

Sementara Ketua Persatuan Bola Sepak Ukraine, Andriy Pavelko mendedahkan kit jersi berkenaan dalam video di Facebook rasminya pada Ahad.

Peta lakaran pada jersi itu juga merangkumi rantau Donetsk dan Luhansk yang dikawal oleh puak pemisah pro Rusia.

Dalam pada itu Kedutaan Amerika Syarikat di Kyiv, Ukraine dalam ciapan Twitternya menyifatkan jersi kontroversi itu sebagai jersi berwajah baharu yang menarik.

Malah slogan Glory for Ukraine dikatakan akan memberi semangat juang tinggi untuk pasukan Ukraine yang akan beraksi mewakili seluruh rakyat Ukraine dalam Euro 2020.-MalaysiaGazette