Bas yang digunakan untuk membawa pesakit positif Covid-19 ke pusat kuarantin.

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang menaja tiga buah bas untuk membawa pesakit positif Covid-19 ke pusat kuarantin.

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Zairil Khir Johari berkata, bas untuk kegunaan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) adalah inisiatif kerajaan negeri dalam usaha mengekang pandemik itu.

Jelas beliau, penajaan bas itu membabitkan peruntukan sebanyak RM72,000 sebulan yang sudah diluluskan menerusi Perkhidmatan CAT (Congestion Alleviation Transport) dalam Belanjawan tahun 2021.

Zairil Khir Johari
Zairil Khir Johari

Kata Zairil, tiga buah bas itu diambil daripada pengurangan bas CAT sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan.

“Bas berkenaan akan digunakan untuk menghantar pesakit ke pusat kuarantin yang ditetapkan khususnya di Pusat Kecemerlangan MARA (MEC), Jawi dan Pusat Latihan Zakat (PULAZA), Balik Pulau di sini.

“Kerajaan negeri berharap dengan penajaan tiga buah bas pada saat kritikal ini sedikit banyak dapat mengurangkan masalah logistik yang dihadapi oleh JKNPP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Zairil berkata, tiga bas itu akan dioperasikan oleh Rapid Penang sepertimana dalam perjanjian CAT dengan kerajaan negeri.

Katanya, pemandu yang bertugas bagi perkhidmatan berkenaan sudah diberi latihan khas, sesi orientasi serta vaksinasi oleh JKNPP semalam.

“Setiap bas akan dinyahkuman di pusat kuarantin selepas pesakit positif Covid-19 diturunkan di pusat kuarantin masing-masing.

“Pakaian perlindungan diri (PPE) dan semua peralatan sokongan akan disediakan JKNPP kepada Rapid Penang bagi menjamin keselamatan pemandu itu,” ujar Zairil. – MalaysiaGazette