LONDON – Penyokong yang menyaksikan perlawanan peringkat kumpulan Euro 2020 di Stadium Wembley perlu menunjukkan bukti mereka telah menerima vaksin menerusi pasport vaksin Covid-19.

Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) berkata, bagi perlawanan di United Kingdom, pemegang tiket berusia 11 tahun dan ke atas perlu menunjukkan bukti pengambilan vaksinasi penuh.

Namun pengambilan kedua-dua dos vaksin itu perlu diambil 14 hari sebelum hari perlawanan.

Mereka yang tidak divaksinasi sepenuhnya dikehendaki menunjukkan bukti keputusan negatif ujian calitan Covid-19 yang diambil dalam masa 48 jam sebelum perlawanan.

England akan menentang Crotia dalam aksi pembukaan peringkat kumpulan pada Ahad ini.

Bagaimanapun, pemegang tiket perlawanan Euro yang akan diadakan di Hampden Park tidak perlu menunjukkan bukti vaksinasi atau ujian calitan Covid-19.

Penyokong yang menetap di England yang ke Stadium Wembley pula perlu menunjukkan status vaksinasi mereka menerusi aplikasi khas NHS.

Wembley dan Hampden Park merupakan antara 11 venue Euro 2020.

Perlawanan lain akan berlangsung di Rom, Munich, Baku, St Petersburg, Budapest, Seville, Bucharest, Amsterdam dan Copenhagen.

Seramai 22,500 penyokong akan dibenarkan memasuki Stadium Wembley untuk perlawanan peringkat kumpulan D membabitkan England Croatia, Scotland dan Republik Czech. – MalaysiaGazette