KUALA LUMPUR – Skuad bola sepak kebangsaan menerima khabar duka selepas bapa kepada jurulatih, Tan Cheng Hoe iaitu Tan Chooi Siak meninggal dunia tengah hari tadi menjelang aksi bertemu Vietnam tengah malam ini.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkongsi berita sedih itu menerusi laman rasminya sebentar tadi.

“FAM mengucapkan takziah kepada ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe atas pemergian bapanya, Tan Chooi Siak, 95, pada hari ini, Jumaat 11 Jun 2021,” kata badan induk itu.

Difahamkan, Chooi Siak meninggal dunia di Alor Setar kerana sakit tua.

Sebagai rekod, Cheng Hoe ketika ini berada di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersama skuad Harimau Malaya untuk mengharungi pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

Malaysia dijadual menentang pasukan di tangga ke-92 dunia, Vietnam di Stadium Al-Maktoum, pukul 12.45 tengah malam ini.

Selepas dibelasah 0-4 di tangan UAE sebelum ini, skuad negara perlu bangkit untuk meraih kemenangan ke atas Vietnam bagi meneruskan perjuangan untuk mara ke pusingan seterusnya. – MalaysiaGazette