AirAsia Allstars menyertai petugas barisan hadapan sebagai sukarelawan di pusat vaksinasi Covid-19 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Lebih daripada 300 AirAsia Allstars menyertai petugas barisan hadapan sebagai sukarelawan bukan perubatan di dua buah Pusat Pemeriksaan Vaksin (PPV) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan Pusat Konvensyen Setia City.

AirAsia berkata, jumlah itu akan bertambah lebih daripada 1,000 dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Menurutnya, AirAsia Allstars yang terdiri daripada kru kabin, jurutera, kakitangan darat dan pegawai pejabat, serta pihak pengurusan akan menjalankan tugas bukan perubatan termasuklah mengalu-alukan kedatangan penerima vaksin, pemeriksaan dokumen dan membantu mereka dalam proses pendaftaran.

Selain itu, sukarelawan AirAsia Allstars juga ditugaskan untuk membuat pengumuman dan memberikan taklimat mengenai gejala yang mungkin dialami.

AirAsia juga menawarkan air mineral Pendang secara percuma kepada penerima vaksin di lokasi terlibat.

“Saya berbangga dengan kakitangan kami terutamanya kru kabin yang memang terlatih dan berkelayakan untuk membantu dan menangani situasi perubatan, selain menjalankan tugas kawalan orang ramai di pusat vaksinasi Covid-19.

”Saya percaya mereka teruja untuk kembali menyarung pakaian seragam dan melakukan tugas dengan sebaiknya untuk membantu orang ramai,” kata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes yang berbangga kerana syarikat itu dapat memainkan peranan untuk membantu kerajaan mempercepatkan kadar vaksinasi untuk mencapai sasaran 80% populasi divaksin pada akhir tahun ini.

Menurut beliau, AirAsia juga terlibat dalam proses pengangkutan vaksin dari Kuala Lumpur ke Kuching di Malaysia dan ke Vientiane di Laos.

Fernandes berkata, mengambil vaksin adalah cara utama untuk menjadikan Malaysia kembali seperti sedia kala.

Tambah beliau, semua kru penerbangannya yang beroperasi di Indonesia telah divaksin dan menjangka sebahagian besar Allstars di rantau ini akan menerima vaksin dalam beberapa bulan akan datang.

“Sektor pelancongan dan perjalanan udara amat penting untuk pemulihan ekonomi negara. Program vaksinasi yang dilancarkan secara agresif dan cekap, ditambah pula dengan pendidikan yang lebih baik di kalangan masyarakat mengenai penerimaan vaksin dan pasport kesihatan digital yang diseragamkan di seluruh dunia adalah kunci untuk pemulihan perjalanan udara.

”Secara kasarnya, kita memerlukan sekitar 50% populasi yang telah divaksin untuk memulakan perjalanan antarabangsa. Saya yakin bahawa kita dapat melakukannya dalam masa terdekat dengan kerja keras dan komitmen kerajaan serta pihak berkuasa kesihatan dalam menangani wabak ini.,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast