Penduduk flat PPR Raya Permai, Hairul Nizam Mat Sharif bergambar bersama keluarga selepas sesi temuramah mengenai pemilik rumah yang disewanya tidak membayar bulanan kepada bank dan dia sekeluarga dihalau oleh pemaju di flat PPR Raya Permai, Kuala Lumpur . Foto HAFIZ SOHAIMI,11 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Seorang ketua rumah kini buntu apabila diperintah mengosongkan kediaman yang disewanya oleh Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan Sdn. Bhd. (SPWP) selepas pemiliknya tidak membayarkan pinjaman melebihi enam bulan.

Hairul Nizam Mat Sharif, 45, berkata, dia dan keluarga seramai enam beranak diberi notis peringatan akhir pada Mac lalu untuk tinggal di PPR Raya Permai sehingga akhir bulan ini.

Jelas beliau yang bekerja sebagai pemandu peribadi, apa yang mengecewakan dia membayar sewa bulanan sebanyak RM600 mengikut waktu ditetapkan sejak tinggal di situ pada 2017 hingga hari ini.

“Surat daripada SPWP pada Mac lalu menyatakan pemilik rumah ini gagal menjelaskan tunggakan selama 48 bulan yang berjumlah RM15,513.

“Padahal setiap bulan saya bayar sewa RM600 sejak tinggal di sini daripada 2017. Semua bukti pembayaran dengan tuan rumah ada dalam simpanan saya sebagai bukti.

Penduduk flat PPR Raya Permai, Hairul Nizam Mat Sharif menunjukkan notis tunggakkan yang diterimanya ketika sesi temuramah mengenai pemilik rumah yang disewanya tidak membayar bulanan kepada bank dan dia sekeluarga dihalau oleh pemaju di flat PPR Raya Permai, Kuala Lumpur . Foto HAFIZ SOHAIMI,11 JUN 2021.

“Namun wakil SPWP beritahu kami hanya boleh tinggal di sini sampai hujung bulan ini. Saya sudah berhubung dengan pemilik rumah dan macam-macam alasan diberikan seperti ada masalah dengan bank.

“Bila saya beritahu rumah hendak kena tarik, dia cakap jangan risau. Jadi kami jadi keliru dan risau serta kini menjadi mangsa keadaan sedangkan sewa dibayar setiap bulan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Hairul Nizam berkata, memburukkan keadaan, dia kini hanya berharap dengan gaji asas sebanyak RM600 selepas tiada elaun diperolehi untuk bekerja pada waktu malam bagi menambah pendapatan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak setahun lalu.

Bapa kepada tiga anak ini berkata, isterinya pula hanya bekerja sebagai pembantu klinik swasta dengan pendapatan kasar RM1,500.

Surat pendaftaran sewa rumah DBKL yang diterimanya ketika sesi temuramah mengenai pemilik rumah yang disewanya tidak membayar bulanan kepada bank dan dia sekeluarga dihalau oleh pemaju di flat PPR Raya Permai, Kuala Lumpur . Foto HAFIZ SOHAIMI,11 JUN 2021.

Pada masa sama, dia turut menjaga ibu mentua, Zailima Mohd. Yusof yang kini hilang penglihatan gara-gara penyakit kronik kencing manis.

“Kehidupan kami memang tidak stabil kerana saya hanya berharap gaji asas sahaja selain perlu menghantar ibu mentua menjalani pemerikasaan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) setiap bulan.

“Dengan gaji tidak seberapa dan hantar ibu mentua ke hospital lagi, saya tetap membayar sewa rumah. Saya hanya bergantung dengan gaji isteri sejak PKP lalu.

“Ketika ini, kami juga sudah buat persediaan dengan mengemas barang-barang jika diarahkan keluar rumah secara tiba-tiba,” katanya.

Penduduk flat PPR Raya Permai, Hairul Nizam Mat Sharif kelihatan termenung selepas sesi temuramah mengenai pemilik rumah yang disewanya tidak membayar bulanan kepada bank dan dia sekeluarga dihalau oleh pemaju di flat PPR Raya Permai, Kuala Lumpur . Foto HAFIZ SOHAIMI,11 JUN 2021.

Hairul Nizam berharap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dapat membantu keluarganya untuk menyewa rumah PPR di kawasan berdekatan.

Jelasnya, dia pernah membuat permohonan untuk menyewa rumah PPR kepada DBKL pada tahun 2018 namun tidak mendapat jawapan sehingga hari ini.

“Saya merayu agar DBKL dapat membantu kami daripada diarahkan keluar rumah dalam PKP ini,” katanya yang mendapat maklumat rumah sewanya menerusi iklan sebelum ini.

Sementara itu, bagi yang ingin membantu Hairul Nizam boleh menghubunginya di talian +60 173961906 atau memberi sumbangan di nombor akaun Bank Simpanan Nasional – HAIRUL NIZAM BIN MAT SHARIF (1400341000027444) – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast