Ibrahim Ali
Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Majlis Gerakan Negara (Mageran) perlu diketuai oleh tokoh yang diterima oleh semua pihak selain mempunyai intergriti dan berwibawa.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, lantikan itu perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Pada awalnya Putra juga mencadangkan Darurat ala 13 Mei 69 dengan menubuhkan Mageran untuk mentadbir negara buat seketika sehingga dapat menstabilkan semula politik negara dengan cara kembali semula ke drawing board untuk mencari penyelesaian secara total kepada segala masaalah yang dihadapi rakyat dan negara.

“Banyak juga tokoh-tokoh masyarakat bersetuju dengan cadangan Mageran dan terakhir Tun M sendiri turut membuat cadangan yang sama. Tapi bezanya Tun M juga mencadangkan beliau sendiri setuju untuk mengetuai Mageran jika dapat ampun perkenan Duli Yang Maha Mulia YDPA.

“Putra menyerahkan kepada kebijaksanaan DYMM YDPA dan berharap sesiapa yang dilantik mestilah tokoh berintegriti, berwibawa, berpengalaman dan diterima oleh semua pihak jika Mageran jadi pilihan dan boleh dilaksanakan,” katanya menerusi kenyataan.

Semalam Pengerusi Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan kepada Agong supaya Mageran ditubuhkan bagi menangani masalah yang dihadapi rakyat khususnya dalam waktu pandemik Covid-19.

Beliau turut mengatakan kesediaan untuk menjadi pengerusi Mageran sekiranya ia ditubuhkan.

Bagaimanapun, Pakatan Harapan (PH) menolak cadangan yang dibawa oleh bekas Perdana Menteri itu, sebaliknya gabungan itu menggesa penguatkuasaan darurat ditamatkan dan Parlimen kembali bersidang. – MalaysiaGazette