Pemuda UMNO menegaskan poster yang memaparkan Datuk Seri Zahid Hamidi dalam poster ini adalah palsu.

KUALA LUMPUR – Datuk Asyraf Wajdi Dasuki sekali lagi mengulangi pendirian UMNO bahawa parti itu tidak akan bekerjasama dengan PKR dan DAP.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu berkata demikian susulan ada pihak yang menjaja poster Jajaran Harapan yang menampilkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama-sama dengan pemimpin Pakatan Harapan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati poster itu disebarkan oleh pemilik akaun palsu atau penyokong kuat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau menempelak penyokong-penyokong Bersatu yang disifatkan sebagai pelik kerana ‘kuat meroyan’.

Katanya, penyokong parti itu lupa bahawa PPBM ditubuhkan hasil perbincangan antara Tun Mahathir Mohamad dengan Lim Kit Siang, menunjukkan betapa perlu menubuhkan sebuah parti Melayu sebagai komponen Pakatan Harapan (PH) untuk menarik sokongan dan memecahkan undi Melayu antara 10 hingga 15% bagi membolehkan PH menang dan memerintah.

”Ternyata formula tersebut berjaya!,” katanya.

Sedangkan, Asyraf menegaskan, UMNO satu-satunya parti yang tidak pernah bersama dengan DAP mahupun PKR.