KUALA LUMPUR – Seorang ejen penilai tanah kerugian RM2.7 juta selepas diperdaya seorang lelaki bernama ‘Eric’ yang dikenali menerusi aplikasi Tinder.

Wanita tempatan berusia 44 tahun itu dipercayai berkenalan dengan ‘Eric’ yang mendakwa dirinya seorang lelaki warga Amerika kira-kira tiga bulan lalu.

Sepanjang proses perkenalan tersebut, mangsa dipercayai telah melakukan sebanyak 11 transaksi kepada suspek melalui pemindahan wang ke dalam akaun sebuah syarikat.

Suspek dipercayai mengadakan perjanjian bersama mangsa dengan mengatakan segala transaksi tersebut sebagai pinjaman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pengadu terpedaya apabila suspek mengatakan dia berada di negara ini untuk menghadiri satu kursus di Johor.

Menurut Mohd Kamarudin, suspek memaklumkan wang yang dibawanya telah ditahan di lapangan terbang dan sejak itu mangsa diperdaya dengan pelbagai helah sehingga mengalami kerugian hampir RM2.7 juta dalam tempoh tiga bulan.

“Bertindak atas maklumat dan risikan yang diterima, sepasukan anggota dari Bahagian Risikan/Operasi JSJK Bukit Aman telah menjalankan enam serbuan di sekitar kawasan Cheras dan Serdang, Selangor.

“Hasil serbuan, lima lelaki warga Afrika berusia lingkungan 27 hingga 43 tahun berjaya dicekup dan kesemua tangkapan ini disyaki terlibat dalam kegiatan Parcel Scam dan Love Scam yang menyasarkan warga tempatan sebagai mangsa,” katanya menerusi sidang media secara atas talian hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Kamarudin berkata, ketika serbuan polis turut memeriksa seorang wanita tempatan berusia 30 tahun yang dipercayai sebagai keldai akaun dan teman wanita kepada salah seorang suspek.

Jelas beliau, suspek wanita terbabit tidak ditahan kerana sedang hamil namun segala keterangan telah direkodkan untuk dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara.

Tambahnya, ketika serbuan dilakukan polis turut merampas sebuah kereta, empat buah komputer riba, 16 buah telefon bimbit, tiga modem, 15 keping kad ATM, 20 keping kad sim, tiga keping pasport serta wang tunai berjumlah RM2,823.

“Hasil siasatan lanjut mendapati sindiket terbabit bergiat aktif sejak lima tahun yang lalu dan masuk ke negara ini dengan menggunakan pas pelajar.

“Namun selepas tamat pas pelajar tersebut, mereka tidak pulang ke negara asal dan terus tinggal di sini secara tidak sah dengan menjalankan aktiviti penipuan dan menyasarkan mangsa dalam kalangan warga tempatan atau luar negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Kamarudin berkata, sindiket berkenaan dipercayai beroperasi dalam dua kumpulan berasingan yang mana satu kumpulan bertindak mencipta akaun media sosial dengan identiti palsu seperti di Facebook, Instagram, Tinder dan Dating Apps.

Jelas beliau, sindiket yang menggunakan akaun palsu itu akan mencari kenalan iaitu berkomunikasi dengan mangsa sehingga mangsa terpedaya dan memberikan wang atas dasar belas kasihan atau cinta.

“Manakala satu lagi kumpulan sindiket ini berperanan sebagai agen pencari akaun keldai bank dalam negara mahupun akaun luar negara.

“Kumpulan ini akan menggunakan akaun keldai bank untuk menerima wang hasil penipuan Love Scam atau Parcel Scam dengan menerima komisen sebanyak 5 hingga 15 peratus bergantung kepada jumlah wang yang dimasukkan ke dalam akaun keldai bank ini sementara baki wang akan diserahkan kepada kumpulan pemegang akaun profil palsu tersebut.

“Mangsa mula menyedari bahawa dirinya telah ditipu apabila sindiket berkenaan mula menyekat dan menghentikan sebarang komunikasi dengan mangsa setelah sejumlah bayaran dibuat ke dalam ‘akaun keldai’ bagi melepaskan parcel yang kononnya telah ditahan oleh pihak Kastam ataupun syarikat kurier,” katanya.

Menurut Mohd Kamarudin, kesemua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/62 (Pindaan 2002) serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. – MalaysiaGazette