PUTRAJAYA – Jumlah kematian harian akibat penularan Covid-19 di negara pada hari ini sebanyak 76 kes, susut lapan kes berbanding semalam.
Setakat ini jumlah kumulatif kematian akibat pandemik Covid-19 ialah 3,844 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua 76 mangsa yang menjadi korban Covid-19 adalah warga tempatan.
“Daripada jumlah itu Selangor menyumbang angka kematian tertinggi iaitu 27 kes.
Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan masing-masing mencatatkan sembilan kematian diikuti lapan kes di Johor; masing-masing lima kes di Sabah dan Melaka, empat kes di Sarawak, Kelantan (3), Kedah (2 kes) serta masing-masing satu satu kes di Pulau Pinang, Perak, Pahang dan Labuan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan di kementeriannya hari ini.
Dr. Noor Hisham berkata, daripada jumlah itu, 36 mangsa adalah wanita.
Daripada 76 mangsa yang meninggal dunia itu, 94 peratus atau 70 orang adalah individu berusia 50 tahun dan ke atas manakala enam peratus atau enam orang adalah di bawah usia 50 tahun.
Paling muda adalah dua individu lelaki dan wanita, masing-masing dari Labuan dan Negeri Sembilan.
Kedua-dua mangsa berusia 31 tahun dan meninggal dunia di Hospital Labuan dan Hospital Tuanku Jaafar Seremban.
Wanita itu mempunyai latar belakang penyakit kronik kencing manis, darah tinggi dan obesiti manakala lelaki yang meninggal dunia di Hospital Labuan itu tidak mempunyai rekod penyakit kronik.
Manakala mangsa paling tua terkorban akibat Covid-19 adalah seorang wanita warga emas berusia 101 tahun dari Selangor.
Warga emas ini tidak mempunyai sebarang rekod latar belakang penyakit kronik dan meninggal dunia akibat Covid-19 di Hospital Sungai Buloh. – MalaysiaGazette