Chow Kon Yeow

GEORGETOWN – Kerajaan Pulau Pinang telah mengenal pasti dua lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) khas bagi petugas barisan hadapan sektor ekonomi di negeri ini.

Pembukaan PPV khas iaitu masing-masing satu di bahagian pulau dan Seberang Perai.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, langkah itu diambil bagi membolehkan peningkatan kadar penerimaan suntikan kepada golongan barisan hadapan ekonomi di negeri ini.

Jelas beliau, PPV tersebut membabitkan sektor perkilangan, peruncitan serta pelancongan di negeri ini.

“Pembukaan dua PPV khas itu adalah hasil usahasama kerajaan negeri dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) serta agensi berkaitan.

“Selain itu, empat PPV baharu akan beroperasi pada bulan ini bagi memastikan lebih ramai rakyat Pulau Pinang yang telah berdaftar diberikan vaksin pada kadar secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, Kon Yeow menegaskan bagi program jangkauan Unit Vaksinasi Bergerak membabitkan pusat jagaan warga emas oleh JKNPP, sebanyak 87 pusat telah dikunjungi dan seramai 3,309 penjaga serta penghuni telah menerima suntikan vaksin.

“Usaha berkaitan akan berterusan bagi memastikan semua golongan berisiko divaksinasi dengan sepenuhnya dalam tempoh terdekat,” ujar beliau. – MalaysiaGazette