Pakatan Harapan PH flag Sarawak state election polls
Pakatan Harapan

KUALA LUMPUR – Pemuda Pakatan Harapan (PH) menuntut kerajaan mengembalikan semula hak demokrasi berparlimen supaya badan legislatif dapat berfungsi dan semak imbang dapat dilakukan susulan banyak kebobrokan yang berlaku dalam perancangan kerajaan untuk menghadapi era pandemik ini.

Ketiadaan semak imbang daripada pihak legislatif, negara ini dipandu tanpa hala tuju yang jelas.

Mereka turut menyanggah sekeras-kerasnya kenyataan Menteri Dalam Negeri yang mengatakan pencapaian imuniti kelompok sebagai pra syarat kepada pengembalian persidangan Parlimen dan Dewan-dewan Undangan Negeri.

Imuniti kelompok bermaksud 80% hingga 90% keseluruhan rakyat Malaysia dan objektif Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini hanya memberi tumpuan kepada rakyat berumur 18 tahun ke atas.

Sedangkan sekitar 28% daripada keseluruhan polulasi Malaysia adalah daripada golongan umur 17 ke bawah.

”Adakah ini semata-mata alasan untuk menidakkan persidangan Parlimen? Mengapa kerajaan tidak memutuskan supaya semua kakitangan Parlimen dan yang bakal bertugas di Parlimen menerima vaksin?,” kata mereka dalam satu kenyataan di sini.

Kenyataan itu dikeluakan oleh Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (PAN), Shazni Munir, Ketua Pemuda Sosialis DAP, Howard Lee dan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Akmal Nasir.

Pemuda PH juga mahu usaha vaksinasi kepada semua rakyat disegerakan dengan memperbanyakkan pusat vaksinasi mengikut lokaliti dan juga mewujudkan unit vaksinasi bergera.

Menurut mereka, negara tidak memerlukan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega atau berskala besar.

”Di samping dapat menjimatkan kos, kita juga dapat mempertingkatkan daya vaksinasi per harian supaya imuniti kelompok dapat dicapai secepat mungkin. Matlamat strategik program vaksin haruslah berasaskan pembawaan vaksin kepada rakyat dan bukannya bergantung kepada rakyat menantikan dan memburu vaksin,” ujar mereka.

Mereka berpendapat pengumuman Pemerkasa+ baru-baru ini tidak benar-benar membantu dengan mendakwa pakej bantuan “one-off” ini hanyalah perancangan jangka pendek.

Sebaliknya mereka menuntut supaya moratorium diberikan secara automatik seperti yang dilaksanakan pada PKP 1.0.

Pemuda Pakatan Harapan menyokong penuh kenyataan Majlis Presiden Pakatan Harapan yang menolak cadangan supaya diwujudkan sebuah Majlis Gerakan Negara (Mageran) sebagai jalan keluar daripada pandemik ini.

Mereka mahu darurat ini ditamatkan dan tidak akan dilanjutkan dengan apa-apa bentuk sekalipun.

”Pada ketika negara sedang berperang melawan musuh ghaib yang punya kuasa kemusnahan yang luar biasa, kini bukannya masa untuk percaturan dan telatah politik kuasa.

”Biar Parlimen bersidang untuk membincangkan cara penyelesaian cabaran semasa dan menggembleng seluruh tenaga memenangi perang ini. Biarlah institusi berkewajipan iaitu Parlimen menentukan siapa yang patut memegang amanah mentadbir negara memimpin rakyat dan siapa yang tidak layak berada di tampuk kuasa.

”Biarlah rakyat diyakinkan kembali bahawa politik dan pemerintahan merupakan beban kuasa membela kesejahteraan rakyat, dan bukannya salah guna kuasa memperkayakan diri dengan memijak rakyat,” ujar mereka. – MalaysiaGazette