Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Puluhan ribu ubatan-ubatan tidak berdaftar bernilai RM2.2 juta dirampas menerusi Operasi Pangea XIV yang diadakan sejak 18 hingga 25 Mei lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, turut disekat 2,600 laman sesawang menjual ubatan yang berbahaya dan melanggar undang-undang.

Ujarnya, tahun ini oprasi ditumpukan kepada penjualan ubat-ubatan dan peranti perubatan yang disalahgunakan bagi tujuan rawatan Covid-19.

“Operasi Pangea XIV juga menunjukkan penjual yang tidak bertanggungjawab terus menerus mengambil peluang untuk mendapatkan keuntungan dengan menjual produk perlindungan untuk wabak Covid-19.

“Buktinya, ubat-ubatan terkawal yang dikatakan untuk rawatan Covid-19, pelitup muka (face mask), thermometer, sarung tangan, gaun pembedahan, test-kit untuk Covid-19, nasal aspirator dan swab beralkohol yang tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan banyak dijual di dalam talian.

“Selain itu, terdapat trend peningkatan penjualan bahan psikotropik oleh penjual yang tidak bertauliah di platform yang sama,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, sepanjang tempoh operasi, sebanyak 972 bungkusan pos telah diperiksa, 157 daripadanya didapati mengandungi 9115 unit produk farmaseutikal yang tidak berdaftar dirampas.

“Nilai rampasan adalah sebanyak RM108,352.00. Berbanding dengan Operasi Pangea pada tahun lalu, lebih 60 peratus produk yang dirampas pada tahun ini adalah ubat-ubatan terkawal di bawah Akta Racun 1952.

“18 peratus daripada ubat-ubatan terkawal yang dirampas adalah di bawah kategori bahan psikotropik. Manakala selebihnya adalah ubat darah tinggi, kencing manis, pil gugur, ubat anti inflammatory dan lain-lain yang kebanyakannya tidak berdaftar dengan KKM.

“Pemeriksaan turut dijalankan di semua pintu masuk utama di seluruh negara melibatkan kargo udara, lapangan terbang, pos sempadan dan terminal feri. Sebanyak 961 unit ubat-ubatan tidak berdaftar dirampas dengan nilai rampasan sebanyak RM 42,213,” tambahnya.

Selain itu,Noor Hisham memaklumkan bahawa, aktiviti penguatkuasaan lain yang dijalankan melibatkan serbuan bersasar ke atas penjual dan premis perniagaan yang terlibat dengan penjualan secara dalam talian.

“Semasa operasi kali ini, 94 premis perniagaan yang menjual produk farmaseutikal yang tidak berdaftar dan juga premis yang mengedarkan bahan psikotropik yang tidak berdaftar telah diserbu. Dalam serbuan tersebut, 61,864 unit produk farmaseutikal yang menyalahi peruntukan undang-undang telah dirampas untuk tindakan lanjut. Nilai rampasan adalah dianggarkan sebanyak RM 2,071,855.

“Turut dirampas adalah beberapa peranti digital seperti komputer dan telefon bimbit yang digunakan sebagai medium untuk memasarkan produk,” ujar beliau.

Operasi tersebut melibatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Interpol Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Pos Malaysia dan CyberSecurity Malaysia.

Sehingga kini kata beliau, KKM masih lagi meneruskan pemantauan di laman sesawang dan media sosial serta mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan dalam menangani isu penjualan produk farmaseutikal dan peranti perubatan dalam talian walaupun setelah Operasi Pangea berakhir.

“Pautan di laman sesawang yang menjual ubat-ubatan yang tidak berdaftar yang mempunyai tuntutan rawatan Covid-19 masih lagi disaring dan disekat. Manakala notifikasi juga sentiasa dikeluarkan kepada platform e-marketplace bagi menurunkan penjualan produk-produk tidak berdaftar atas tujuan yang sama,” katanya lagi.

Sementara itu, aktiviti kesedaran kepada orang awam mengenai potensi bahaya membeli ubat-ubatan secara dalam talian juga merupakan sebahagian daripada Operasi Pangea XIV.

“Sebanyak 206 kempen kesedaran pengguna telah diadakan sepanjang tempoh Operasi Pangea XIV. Antara usaha yang dijalankan adalah kempen kesedaran di media sosial termasuk panduan video mengenai pembelian ubat dalam talian yang selamat.

“Pada tahun ini juga, pendidikan mengenai penjualan peranti perubatan untuk Covid-19 turut diadakan di farmasi-farmasi komuniti. Tujuan utama aktiviti ini diadakan adalah untuk memberikan penerangan mengenai peranti perubatan dan syarat untuk pendaftaran peranti perubatan,” kata Noor Hisham.

Justeru Ketua Pengarah Kesihatan itu menasihatkan orang ramai supaya memastikan produk kesihatan yang dijual sama ada di atas talian ataupun di premis mempunyai pelekat keselamatan Hologram dan Nombor Pendaftaran Produk sebelum membeli produk tersebut.

Status pendaftaran produk boleh disemak dengan melayari laman sesawang http://www.npra.gov.my di ruangan “Product Status”. Selain itu, orang ramai boleh memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store, Apple App Store atau Huawei AppGallery bagi tujuan semakan tersebut.-MalaysiaGazette