Bekalan darah di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan semakin susut hampir 50 peratus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pegerakan (PKP).

KUANTAN – Bekalan darah di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan semakin susut hampir 50 peratus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pegerakan (PKP).

Kekurangan bekalan Unit Tabung Darah HTAA itu disebabkan kekangan menganjurkan program aktiviti menderma darah secara terbuka  kerana  prosedur operasi standard (SOP) sepanjang PKP.

Bekalan darah sentiasa diperluakan di Unit Tabung Darah HTAA.

Pegawai Perubatan Jabatan Perubatan Transfusi HTAA, Dr. Rashidah Abdul Rahman berkata, pihaknya kini hanya dapat mengumpul kira-kira 250 beg bekalan darah sahaja bagi tempoh seminggu.

Dr. Rashidah Abdul Rahman

“Kekurangan agak ketara kerana berbanding sebelum pandemik, kita mampu dapat bekalan darah kira-kira 400 beg seminggu.

“Pengurangan ini disebabkan orang ramai takut untuk keluar menderma semasa keadaan begini namun penganjuran program menderma darah masih diadakan pada skala kecil seperti di hospital swasta dengan pematuhan SOP.

Penderma darah menunjukkan buku rekod merah di HTAA menderma darah

“Bekalan darah yang berkurangan sedikit sebanyak memberi kesan kepada pesakit yang memerlukan seperti yang menghidapi talasemia, ibu bersalin, mangsa kemalangan dan termasuk pesakit Covid-19 yang mengalami pendarahan.

“Bekalan darah berkurang tidak bermakna penggunaannya juga akan berkurang malah kadar penggunaan tetap sama bahkan ada masa lebih bergantung kepada keadaan namun usaha meningkatkan bekalan diteruskan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Jelas Dr. Rashidah, bekalan beg darah sentiasa diperlukan bagi menampung keperluan di hospital daerah di negeri ini selain keperluan bagi hospital swasta.

ARTIKEL BERKAITAN :

Pemangku Raja Pahang berkenan derma darah

Che Adam derma darah 80 kali

MGNews: Hari Derma Darah Sedunia “Blood Connects Us All”

Dalam pada itu, usaha membantu meningkatkan bekalan terus dipergiatkan oleh pelbagai pihak termasuk daripada pertubuhan bukan kerajaan, badan swasta dan orang ramai.

Sukarelawan Jabatan Amal Malaysia Negeri Pahang berjaya menganjurkan dan mempromosi kan kempen derma darah kepada orang ramai

“Sukarelawan Jabatan Amal Malaysia Negeri Pahang juga menganjurkan dan mempromosi orang ramai untuk terus menderma darah pada musim pandemik ini.

“Selain itu, ahli Majlis Belia Negeri Pahang juga menyokong usaha menderma darah kepada golongan muda khususnya masyarakat belia,” katanya.

Justeru beliau berkata, orang ramai yang cukup syarat boleh datang terus ke unit tabung darah hospital berdekatan pada waktu pejabat untuk menderma darah dalam keadaan mematuhi SOP. – MalaysiaGazette