KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan keputusan UMNO untuk tidak mendesak kerajaan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam waktu terdekat ini sebagai tepat dan kena pada masanya.
Setiausaha Agung Pas Malaysia, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan itu amat wajar memandangkan kerajaan sekarang termasuk negeri sedang fokus memerangi pandemik Covid-19.
“Kita berpandangan kenyataan UMNO itu amat tepat dan kena pada masanya memandangkan fokus seluruh jentera kerajaan persekutuan dan negeri sekarang adalah bagi memerangi pandemik Covid-19 yang belum reda.
“Begitu juga parti-parti politik turut sama menumpukan kepada usaha membantu rakyat yang terkesan teruk dengan wabak ini bukan sahaja dalam aspek kesihatan, tapi juga ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dilaporkan berkata, parti itu tidak perlu mendesak kerajaan supaya mengadakan PRU15 dalam waktu terdekat ini, lebih lagi ketika masih menghadapi wabak Covid-19.
Sebaliknya, ujar Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu, tumpuan akan diberikan kepada usaha membantu rakyat mendepani pandemik itu.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, Pas menyeru semua pihak terutama parti politik dan NGO tanpa mengira fahaman dan aliran pemikiran agar sama-sama membantu kerajaan menguruskan dan menyelesaikan wabak yang merupakan darurat besar itu.
Ini katanya, bermaksud isu yang boleh menimbulkan ketegangan, keburukan dan kerugian masa, tenaga dan kewangan wajar dielakkan semaksima mungkin.
“Kita yakin kerajaan akan terus mengambil langkah proaktif dengan mengambil kira pandangan dan cadangan semua pihak bagi memastikan kebaikannya akan dirasai oleh seluruh rakyat dan penduduk Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette