KUALA LUMPUR – Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah meluluskan pendaftaran secara bersyarat produk ravidasvir sebagai rawatan virus hepatitis C (HCV) yang selamat dan berkesan yang dihasilkan oleh kerjasama awam-swasta.
Kerjasama ini melibatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), organisasi penyelidikan dan pembangunan tidak berasaskan keuntungan, Drugs for Neglected Diseases initiative (DNDi), syarikat farmasi dari Mesir Pharco, syarikat farmasi Malaysia Pharmaniaga Berhad, dan organisasi bukan kerajaan Médecins Sans Frontières/Doctors Without Borders (MSF).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia adalah ubat pertama untuk HCV yang dihasilkan melalui kerjasama Selatan-Selatan, dengan dana dan sokongan klinikal daripada organisasi bukan berasaskan keuntungan.
Menurutnya, kerjasama itu dibentuk untuk mengatasi salah satu cabaran sukar kesihatan awam yang dihadapi dalam dekad lalu iaitu kekurangan akses kepada antivirus tindakan terus (direct-acting antiviral/DAA) generasi baru rawatan HCV yang mampu menyembuhkan pesakit dalam tempoh tiga hingga enam bulan yang mampu milik.
HCV, yang boleh menyebabkan penyakit hati kronik, sirosis (keradangan kronik yang merosakkan struktur normal organ) barah dan kematian menjangkiti kira-kira 58 juta orang di seluruh dunia.
Namun sehingga kini, cuma kira-kira 13 peratus yang mendapat rawatan dan penyakit itu menyebabkan kira-kira 300,000 kematian dalam setahun, katanya.
“Walaupun hepatitis boleh disembuhkan, terdapat satu kitaran yang menghalang pemberian rawatan kepada mereka yang memerlukan. Penyakit ini kebanyakannya adalah ‘pembunuh senyap’, proses diagnostiknya rumit, jadi ramai yang dijangkiti tanpa sedar, dan kebanyakan DAA adalah terlalu mahal.
“Malaysia memutuskan untuk bertindak bagi menghapuskan kitaran ini. Kami membuat saringan aktif untuk mencari pesakit yang ‘hilang’, melancarkan ujian diagnostik yang lebih ringkas dan memastikan agar kami mendapat akses kepada harga terbaik untuk rawatan, termasuk dengan menjalankan penyelidikan klinikal bagi mengenal pasti pilihan rawatan tambahan dengan harga berpatutan.
“Pengumuman hari ini adalah peristiwa penting dalam perjalanan panjang Malaysia mencapai matlamat Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk melenyapkan penyakit hepatitis C menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai rawatan Hepatitis C yang pertama dibangunkan melalui kerjasama Selatan-Selatan dan ubat pertama didaftarkan di Malaysia secara virtual, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, kelulusan yang didapati hari ini tertumpu kepada ubat baru, ravidasvir, untuk rawatan jangkitan HCV kronik dalam kalangan orang dewasa, dengan gabungan produk ubat yang lain.
Jelasnya, ravidasvir dihasilkan oleh kerjasama berkeneaan untuk digunakan bersama sofosbuvir, DAA yang sedia ada sebagai alat kesihatan awam yang mampu milik, ringkas, dan berkesan. – MalaysiaGazette