Kediaman rasmi Datuk Bandar MBPP di Jalan Park, Pulau Tikus di sini.

GEORGE TOWN – Suspek terakhir yang menjadi buruan polis susulan pecah masuk kediaman rasmi Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Ar. Yew Tung Seang berjaya diberkas awal pagi tadi.

Bertindak atas risikan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut menyerbu sebuah kediaman di Titi Teras, Balik Pulau pada jam 1 pagi tadi.

Difahamkan, suspek bersembunyi di rumah mertuanya selepas tahu dirinya menjadi buruan polis sejak Sabtu lalu.

Sahabudin.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, penahanan suspek berkenaan menjadikan sehingga kini seramai lima suspek telah ditahan berkaitan kes terbabit.

“Suspek kelima berusia 32 tahun itu ditahan di kawasan Balik Pulau,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

Artikel berkaitan: Rumah Datuk Bandar MBPP dipecah masuk, polis tahan 4 lelaki

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan polis berjaya menyelesaikan kes pecah masuk kediaman rasmi Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Yew Tung Seang di Jalan Park, Pulau Tikus di sini dalam tempoh kurang 24 jam.

Kes berkenaan diselesaikan susulan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara menahan empat lelaki termasuk dua beradik berusia lingkungan 27 hingga 37 tahun di sekitar Bagan Ajam, Butterworth pada jam 10.15 pagi Sabtu.

Difahamkan, kejadian pecah masuk itu disedari ahli keluarga Datuk Bandar pada jam 9 pagi selepas mendapati ruang atas dan bawah rumah berada dalam keadaan berselerak.

Pemeriksaan lanjut di kediaman tersebut mendapati komputer riba, beg jenama Louis Vuitton, telefon bimbit, matawang asing berjumlah 5,000, serta sebuah kereta jenis Honda CRV turut dilarikan penjenayah. – MalaysiaGazette