MKN melarang aktiviti berbasikal sepanjang pelaksanaan PKP 3.0.

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini mengeluarkan garis panduan dan SOP berkaitan sukan dan rekreasi sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menurut kenyataan KBS, mengikut SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN), aktiviti berbasikal dilarang sama sekali, manakala untuk joging dan bersenam, hanya dibenarkan di kawasan kejiranan tempat tinggal sendiri.

Kata kenyataan itu, larangan dan SOP diperketatkan berikutan aktiviti sukan dan rekreasi secara tidak terkawal boleh mendedahkan individu berkenaan kepada jangkitan Covid-19.

“Berdasarkan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan dengan kebenaran Majlis Keselamatan Negara, hanya aktiviti sukan dan rekreasi secara individu sahaja dibenarkan.

“Aktiviti itu ialah joging dan senaman. Mereka perlu mematuhi SOP ditetapkan iaitu tanpa bersentuahan fizikal, penjarakan fizikal sekurang-kurangnya dua hingga tiga meter dan dilakukan di kawasan kejiranan bermula jam 7 pagi hingga 8 malam,” katanya kenyataan itu menerusi ciapan Twitter @KBSMalaysia hari ini.

Joging dibenarkan tetapi di kawasan kejiranan tempat tinggal sendiri.

Selain itu, kata kenyataan tersebut, kementerian amat prihatin dan memahami keresahan penggiat industri sukan dan rekreaksi, tetapi keputusan itu terpaksa diambil bagi memastikan usaha KKM dalam melandaikan lengkung jangkitan Covid-19 dapat direalisasikan dengan efektif.

Mengenai larangan aktiviti berbasikal, KBS menyatakan, keputusan itu bersifat sementara sehingga situasi pandemik Covid-19 berada dalam keadaan yang mengizinkan.

“Kementerian meletakkan komitmen utama dalam usaha memastikan semua aktiviti sukan dan rekreasi kembali aktif, dengan sama-sama membantu kerajaan memerangi penularan virus Covid-19.

“Kementerian amat yakin pemegang taruh sektor sukan dan rekreasi amat berdisiplin dalam melakukan aktiviti sukan dan rekreasi termasuk bagi aktiviti berbasikal. Bagaimanapun, salah satu strategi untuk melandaikan lengkung jangkitan adalah menerusi kawalan pergerakan dalam kalangan masyarakat,” kata kenyataan itu.

Mengenai aktiviti senaman yang dibenarkan, katanya, ia adalah berbentuk kecergasan kendiri, setempat dan dilakukan secara individu tanpa bersentuhan fizikal.

Kaedahnya ialah seperti regangan, kelenturan, bebanan, lari setempat, lompat tali, lompat bintang dan lain-lain yang bersesuaian, malah perlu dilakukan secara individu, setempat, terkawal dan di kawasan terbuka serta kawasan kejiranan.

“Keputusan ini dibuat MKN bagi mengehadkan pergerakan orang ramai dan disarankan untuk terus pulang ke kediaman setelah selesai bersukan.

“Bagi mengekalkan kecerdasan dan kesihatan, orang ramai dibenarkan untuk melakukan aktiviti ini bermula jam 7 pagi hingga 8 malam,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette