Hashim Jasin

KUALA LUMPUR – Pas menaruh kepercayaan penuh kepada Majlis Raja-Raja Melayu yang akan bersidang esok bagi membincangkan hal berkaitan usaha memerangi penularan jangkitan wabak Covid-19 dan pelaksanaannya ketika tempoh darurat.

Hal ini dinyatakan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin yang turut berharap perbincangan itu tidak membangkitkan sebarang isu pertukaran kerajaan.

“Pas sentiasa menaruh keyakinan kepada institusi berkenaan dan tidak timbul sebarang isu pertukaran kerajaan dalam perbincangan khas Raja-Raja Melayu esok.

“Kepentingan dan agenda peribadi parti politik perlu diketepikan dengan menyokong keputusan Majlis Raja-Raja Melayu khususnya berkaitan keutamaan menangani Covid-19 demi kepentingan rakyat dan negara.

“Tidak ada keperluan untuk menukar kerajaan yang telah memainkan peranan yang baik dalam mendepani Covid-19 ketika ini,” katanya sebagaimana dilaporkan Harakahdaily hari ini.

Rabu lalu, media melaporkan, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billal Shah berkenan untuk menganjurkan sesi Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, 16 Jun ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dilaporkan berkata, Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu itu adalah atas inisiatif Al-Sultan Abdullah dan akan dipengerusikan baginda.

Perbincangan itu berkaitan dengan usaha kerajaan memerangi penularan jangkitan wabak Covid-19 dan pelaksanaannya semasa tempoh darurat dan ia kali kedua diadakan di Istana Negara sejak Al-Sultan Abdullah menaiki takhta pada 31 Januari 2019.

Mengulas lanjut, Hashim berkata, tidak timbul isu pertukaran kerajaan dalam perbincangan Khas Raja-Raja Melayu, malah pertemuan ketua-ketua parti politik dengan Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini juga tidak menyentuh perkara sedemikian.

Kata beliau, pemimpin perlu mengetepikan fahaman politik parti masing-masing dengan memberi fokus kepada usaha menangani Covid-19 dan ekonomi negara.

Menurutnya, rakyat juga perlu bersama memberi sokongan kepada kerajaan dalam menempuh cabaran pandemik Covid-19 demi kelangsungan kehidupan akan datang.

Oleh itu, beliau berharap, seluruh rakyat tanpa mengira agama, bangsa atau pegangan parti politik perlu menyokong usaha kerajaan dengan menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi mengawal penularan wabak itu. – MalaysiaGazette