Gambar hiasan

BANTUAN asas psikologi atau lebih dikenali dengan psychological first aid (PFA) merupakan satu sistem sokongan psikososial awal dan praktikal yang disediakan ditengah kemelut krisis yang melanda masyarakat. Krisis merupakan satu peristiwa tidak diduga yang terjadi dalam skala besar seperti gempa bumi, peperangan dan cetusan wabak penyakit seperti pandemik COVID-19 yang sedang melanda seluruh dunia pada masa kini.

Krisis juga boleh disebabkan oleh rentetan peristiwa negatif yang dihadapi oleh individu seperti kemalangan, kecurian dan pencerobohan. PFA telah didapati efektif bagi meminimakan impak psikososial meliputi kesan fizikal, sosial dan emosi kepada individu yang mengalaminya sebelum kaunseling dapat dilaksanakan.

Menteri Kesihatan Malaysia, Dato’ Dr. Adham Baba dalam Mesyuarat Penasihat Promosi Kesihatan Mental (MPPKM) pada 26 Mei 2021 memaklumkan bahawa jawatankuasa telah menggariskan empat strategi bagi mendepani cabaran kesihatan psikologi rakyat Malaysia yang terkesan dengan situasi krisis penularan COVID-19.

Salah satu strategi tersebut ialah usaha meningkatkan lagi latihan PFA kepada lebih ramai orang awam terutama golongan barisan hadapan yang melibatkan diri dengan misi bantuan kemanusiaan.

Ia ternyata selari dengan Pelan Strategik Kebangsaan Kesihatan Mental bagi tahun 2020-2025 yang berhasrat memperkukuhkan usaha mempromosi kesejahteraan mental, pencegahan penyakit mental disamping meningkatkan literasi kesihatan mental dalam kalangan masyarakat Malaysia.

PFA menggunakan strategi ‘Lihat, Dengar dan Hubung’ atau Look, Listen, Link menyediakan ilmu dan kemahiran berstruktur kepada pengamal untuk menyediakan sokongan emosi secara memfokus kepada keperluan klien yang paling asas, sangat segera dan terpenting pada ketika dan semasa itu.

PFA memfokus kepada lima elemen asas bagi perubahan klien, iaitu keselamatan, ketenangan, keterhubungan, efiksi kendiri dan pengharapan. Pengamal dilatih untuk sentiasa bersedia agar dapat mententeramkan klien yang sedang bercelaru dengan isu
luarjangka yang dialaminya. Layanan berhemah pengamal akan meredakan hati dan
perasaan klien lantas berupaya mengelakkan mereka daripada terus terasa terancam dan akhirnya mengelak rasa kesempitan yang berpanjangan.

PFA bukannya sesi kaunseling atau intervensi psikiatri, namun ianya berasaskan kepada
konsep bahawa klien berupaya membina harapan positif setelah mereka diberikan
ruang untuk difahami dan didengari. Di samping itu PFA mudah dilaksanakan oleh
pengamal dengan latihan yang minimum.

PFA diperakui sebagai satu intervensi psikososial sejak peristiwa September 2001. Ianya terus berkembang sebagai salah satu kaedah menolong yang asas dan mudah. Pada tahun 2011, World Health Organization (WHO) bersama World Trauma Foundation (WTF) dan World Vision International (WVI) berkolaborasi menghasilkan model PFA bagi tujuan bantuan sokongan psikososial dalam krisis kemanusiaan.

Pelbagai kajian impak telah dilaksanakan bagi melihat keberkesanannya. Pada
2016, WHO telah mengangkat PFA sebagai tema sambutan Hari Kesihatan Mental
Sedunia 2016. Sehingga kini, bahan rujukan dan manual PFA ini telah dialihbahasa
kepada lebih 20 bahasa dan diadaptasi apabila tercetusnya wabak Ebola pada 2013.

Di Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah menerima pakai PFA seperti yang termaktub dalam pelan intervensi kesihatan mental dan sokongan psikososial yang dibangunkan selari dengan kerangka Inter-Agency Standing Committee (IASC), UN pada 2010. Menurut pelan tersebut, PFA dan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikologi (MHPSS) disediakan sebagai respon segera kepada mereka yang terkesan oleh pandemik.

KKM juga telah menerbitkan Buku Poket Panduan PFA untuk kegunaan semua pihak.
Seterusnya PFA telah digunapakai dengan meluas di Malaysia rentetan peristiwa
MH37 dan MH17 serta bencana banjir besar di Kelantan. Pandemik COVID-19 telah
menyerlahkan lagi peranan dan sumbangan PFA kepada masyarakat.

Kesan pandemik COVID-19 sedang dan akan terus ditangani oleh barisan hadapan dari pelbagai latarbekakang seperti pengamal perubatan, pasukan keselamatan seperti, guru, kaunselor, NGO dan peminpin komuniti. Bagi mereka yang tidak mempunyai kemahiran dan ilmu kaunseling, teknik menolong yang menjadi metodoogi dalam PFA dapat dilakukan dengan mudah.

Telah tiba masanya untuk pengamal PFA dilatih secara khusus dan diberi perakuan agar lebih ramai ahli masyarakat dapat menerimanya manfaatnya. Sehubungan dengan itu, Persatuan Kaunseling Antarabangsa Malaysia (PERKAMA International) sebagai badan
advokasi kaunseling terbesar di Malaysia bersedia menjadi peneraju latihan dan
persijilan.

Menyedari kepentingan PFA untuk masyarakat Malaysia masa kini, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersama PERKAMA International dan Persatuan Profesion Psikologi KKM (PSIKEM) akan menganjurkan Webinar Antarabangsa Malaysia yang pertama pada 19 dan 20 Jun 2021 dengan membawa pembentang Ucap tama yang berwibawa seperti Ketua Pengarah KKM; Humanitarian Response Depot (UNHRD); MERCY Malaysia dan PERKAMA.

Jemputan luar negara melibatkan dari Post Crisis Counseling Network, Hong Kong; Center of Public Preparedness, John Hopkin University, USA; Hyogo Institute for Traumatic Stress, Japan; dan dari Fakulti Psikologi, Indonesia. Semua pihak perlu memainkan peranan dalam usaha memasyarakatkan PFA agar kita sama-sama dapat membantu
menyediakan sokongan psikosial dalam mendepani pandemik COVID-19.

Dr Mansor Abu Talib
Profesor Pelawat, UCSI University dan Naib Presiden, Persatuan Kaunseling
Antarabangsa Malaysia (PERKAMA International)