KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Bahagian Machang menyifatkan Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sehari sebelum Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja Melayu, sebagai perancangan yang dibuat secara tergesa-gesa.
Ketuanya, Mohd Fakaaruddin Ismail berkata, ia juga tidak memenuhi kriteria sebagai Pelan Pemulihan Negara, melainkan sekadar perancangan yang dibuat jika kes Covid-19 naik atau turun.
Kata beliau, perancangan itu tidak bermakna apa-apa jika tujuan akhirnya masih lagi sekadar untuk menjaga dan mengekalkan kuasa kerajaan yang ada.
“Seriuskah kerajaan melaksanakan total lockdown, tetapi sebahagian besar industri masih lagi dibuka dan menjadi punca utama kepada jumlah kes harian yang dilaporkan?
“Jika kita bersetuju kerajaan sekarang tidak serius, malah mempunyai agenda tertentu, apakah kita hendak percaya Pelan Pemulihan Negara ini menjadi agenda serius yang nak dibuat oleh kerajaan?,” soal beliau dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Mohd Fakaaruddin berkata, pengumuman itu tidak lebih untuk mengalih perhatian dan helah politik kononnya kerajaan sedang berusaha dengan pelbagai pelan penyelesaian agar terus memerlukan kuasa darurat.
Apapun, katanya, intipati pelan itu tidak mempunyai agenda kukuh dan meyakinkan dalam menyelesaikan isu sebenar yang dihadapi rakyat, melainkan berasaskan kepada ‘jika’ dan ‘kalau’.
“Rakyat menerima hidup bersama dengan pandemik Covid-19, malah sudah biasa dengan norma baharu, selain hadam dan hafal dengan SOP pelbagai perintah kawalan termasuk total lockdown, walaupun bingung dan keliru kerana tafsiran di kalangan pihak berkuasa berbeza-beza.
“Namun, mendukacitakan dalam Pelan Pemulihan Negara berasaskan angka kes itu memberi makna Fasa 2 boleh diundur ke Fasa 1 jika kes tinggi dan Fasa 3 yang ditunggu tidak akan kunjung tiba hingga berakhirnya tahun 2021.
“Justeru, rakyat tidak boleh menaruh harap daripada pelan itu yang direncakanan oleh orang sama yang pernah mengatakan, tidak akan ada lagi PKP bila negara sudah dapat vaksin.
“Apabila sudah vaksin, rakyat boleh merentas negeri, tetapi walaupun sudah divaksinasi, PKP telah dilaksanakan, malah total lockdown pula yang diumum untuk tempoh empat minggu ini,” katanya.
Beliau berkata, orang sama juga menyatakan, rakyat boleh bebas ke sana ke sini setelah selesai mendapat dua dos suntikan vaksin, tetapi akhirnya tetap tidak boleh ke mana mana.
Menurut Mohd Fakaaruddin, proses vaksinasi dijadikan jaminan utama untuk membebaskan rakyat bagi menyertai sektor ekonomi dan memulihkan ekonomi keluarga.
Namun, dalam Pelan Pemulihan Negara dinyatakan dengan jelas secara data dan sains mengenai pencapaian yang akan dicapai mengikut fasa.
“Ia tidak dikemukakan dalam pelan itu kerana mereka tahu prosesnya tidak akan berjaya sebagaimana perancangan semasa berikutan kekangan yang hanya mereka sendiri tahu.
“Jadi, apakah jumlah peratus yang nak dicapai akan berjaya? Berapa ramai rakyat sudah mendaftar, tetapi masih gagal divaksin. Sekali lagi peratus ini akan digunakan sebagai alasan Sains dan data untuk mengekalkan status Pelan Pemulihan Negara kekal di Fasa 1 dan Fasa 2.
“Sesungguhnya, yang lebih diperlukan oleh rakyat dalam Pelan Pemulihan Negara ialah pelan konkrit untuk bagaimana rakyat harus dibantu dalam jangkamasa dinyatakan,” ujar beliau.
Beliau turut mempersoalkan, kenapa bantuan seperti moratorium tanpa syarat dan i-Sinar seperti PKP 1sebelum ini tidak diteruskan secara menyeluruh. – MalaysiaGazette