KUALA LUMPUR – Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan terdapat tiga kekurangan terhadap fungsi Dewan Rakyat yang ditauliahkan oleh perlembagaan sebagai penentu muktamad untuk memilih Perdana Menteri daripada kalangan wakil rakyat.
Kekurangan itu menyebabkan Dewan Rakyat tidak berfungsi secara menyeluruh oleh kerana sebahagian daripada wakil rakyat mempunyai kepentingan kewangan (sama ada secara terbuka atau pun secara senyap) dan hilang kelayakan mengikut Akta Majlis Parlimen (Kestimewaan dan Kuasa) 1952.
Dewan Rakyat kini dalam keadaan tergantung dan tiada pihak mempunyai majoriti untuk membuat keputusan.
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, terdapat ahli-ahli yang tidak menepati peruntukan perlembagaan berkaitan dengan pemilihan mereka dan ini merupakan penipuan terhadap perlembagaan, kata Ahli Parlimen Gua Musang.
Dalam kenyataannya, Tengku Razaleigh menambah, selain itu, tidak terdapat peruntukan dalam perlembagaan atau mana-mana undang-undang untuk menyelesaikan masalah ini sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati rakyat mengenai keadaan semasa,” katanya dalam kenyataan kepada media, semalam.
Beliau berkata, gelombang sepi yang berlaku sepanjang pandemik ini menyebabkan rakyat hilang keyakinan terhadap pemimpin sekarang dan perkara ini tidak harus dibiarkan berterusan.
Oleh itu, beliau menjelaskan, Raja-Raja Melayu bertanggungjawab memainkan peranan keperlembagaan yang dianggap penting ketika negara berada dalam keadaan genting ini.
Katanya, peranan itu selaras dengan sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong di hadapan Raja-Raja Melayu yang memilih baginda mewakili Majlis Raja-Raja Melayu.
“Tanggungjawab ini memerlukan pemilihan seorang pemimpin tanpa kepentingan peribadi, parti politik mahu pun pertimbangan peribadi.
“Pemimpin tersebut semestinya mempunyai kemampuan, keupayaan, visi dan pemahaman mendalam mengenai keadaan semasa, demi memimpin kerajaan yang mampu membantu kita mengatasi keadaan teruk yang melanda rakyat sekarang.
“Sekarang ini kita menghadapi krisis bertubi-tubi yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Sistem ekonomi kita merudum, di samping, mengalami krisis berkaitan keperluan asas seperti bekalan makanan, keadaan kesihatan dan isu keselamatan,” katanya.
Dalam keadaan ini, jelasnya, kerajaan mempunyai dua pilihan, sama ada menghadapi masalah yang melanda negara sekarang ini dengan berkesan atau menyelesaikan semua kemelut itu bagi mengelakkan kegagalan.
Katanya, semua pihak sedia maklum kerajaan mempunyai hubung kait rapat dengan kemajuan negara dan kehidupan rakyat yang baik.
Bagaimanapun, keadaan sebaliknya berlaku, apabila rakyat terutama yang miskin berada dalam keadaan terdesak dan kecewa dengan tahap kepimpinan sedia ada.
Menurutnya, rakyat dalam ketakutan berdepan dengan perkara yang tidak dapat dikenalpasti dan curiga mengenai keadaan keselamatan diri.
“Bahkan, rakyat amat tertekan oleh kegelisahan mengenai masa depan, lebih lagi yang dianggap musuh (pandemik Covid-19) tidak kelihatan dan menimbulkan kebimbangan.
“Keadaan biasa tidak lagi wujud. Apa yang dapat diharap pada masa depan bergantung kepada sama ada kepimpinan negara dapat membawa perubahan atau sebaliknya.
“Umum tahu, kepimpinan negara masa kini amat penting kesannya terhadap cara hidup rakyat. Sesungguhnya kita berada dalam keadaan serba salah,” katanya dalam kenyataan kepada media, semalam.
Menurut Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO itu, persoalan yang timbul, apakah negara ini dapat meneruskan kedudukannya sepertimana keadaan terdahulu kerana kepimpinan yang terdapat di masa lampau kini tidak lagi relevan.
Di samping itu, kepimpinan hari ini tidak dapat menangani pelbagai masalah berkaitan ekonomi dihadapi serentak termasuk pengangguran tinggi, kehilangan pendapatan dan kewangan yang semakin kurang untuk membiayai seperti makanan dan kesihatan.
“Keadaan sebegini tidak pernah berlaku di masa-masa lampau. Pada masa dahulu, keadaannya tidak serumit kini dan orang ramai lebih optimis. Kini mereka tidak lagi begitu.
“Perlembagaan dan institusi-institusi negara tidak terbentuk untuk menghadapi keadaan yang sedang melanda kita, sama ada mereka dapat menangani keadaan ini adalah suatu keraguan kerana mutu kepimpinan pada masa kini menjadi tanda tanya,” katanya. – MalaysiaGazette