KUALA LUMPUR – Tiga ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang mewakili parti Pakatan Harapan (PH) berpendirian tidak ada keperluan untuk darurat dilaksanakan.
Sebaliknya, kata Datuk Seri Saifuddin Nasution, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan Loke Siew Fook dalam kenyataan bersama, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih ketat adalah kaedah terbaik.
“Kami juga berpendirian, persidangan Parlimen harus segera diadakan sebagai mekanisma semak dan imbang sesuai dengan prinsip demokrasi berparlimen negara.
“Setakat hari ini, jawatankuasa ini belum lagi memuktamadkan sebarang keputusan mengenai tempoh melanjutkan atau menamatkan darurat untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong,” kata kenyataan itu kepada media, hari ini.
Menurut mereka, sejak menganggotai jawatankuasa itu Februari lalu, dengan fungsi khas menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai pelanjutan atau penamatan darurat, mereka telah menyampaikan beberapa pandangan.
Pandangan itu, kata mereka, menyentuh pelbagai perkara darihal pandemik Covid-19, vaksinasi, kematian harian, kemudahan hospital, keadaan ekonomi negara dan kesan kepada kehidupan rakyat.
“Kami juga menyampaikan pendirian bahawa pendekatan ‘Government Intervention’ dalam bentuk PKP dan darurat adalah dua perkara yang berbeza dalam menangani pandemik Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette