KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong (YDPA) diberi kuasa untuk menetapkan tarikh sesuai memanggil sidang Dewan Rakyat tanpa perlu mendapatkan nasihat Perdana Menteri.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Rayuan Penamatan Proklamasi Darurat (JK Tamat Darurat), Khalid Abd. Samad, kuasa itu tertakluk bawah Ordinan Darurat Seksyen 14 dan 15 (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.
Katanya, kuasa itu boleh digunapakai sekiranya Perdana Menteri gagal atau tidak mematuhi titah YDPA dan pemakluman Raja-Raja Melayu supaya memanggil sidang Parlimen dengan segera.
Beliau berkata, pemimpin politik termasuk rakyat khususnya sebolehnya memohon YDPA memanggil sidang Parlimen selewat-lewatnya Julai ini walaupun walaupun masih dalam tempoh darurat sehingga 1 Ogos ini.
“Amat jelas kerajaan Perikatan Nasional campur Barisan Nasional (PN+BN) gagal mengawal bukan sahaja pandemik Covid-19, tetapi juga ekonomi negara dan perpaduan sosial.
“Kami juga mengalu-alukan perakuan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu mengenai peri pentingnya kestabilan politik dengan adanya kerajaan yang disokong oleh rakyat untuk memerangi wabak Covid-19 dengan berkesan.
“Ketidakstabilan politik ini hasil budaya politik khianat dan politik toksik (habuan dan jawatan) PN+BN. Mereka telah menghasilkan sebuah kerajaan yang tidak disokong ramai untuk mengambil tampuk pemerintahan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, sidang Parlimen bukan hanya sebagai mekanisme semak dan imbang sahaja, tetapi pentas terbaik untuk mengenal pasti kaedah dan perbelanjaan digunakan bagi mengatasi pandemik Covid-19 serta kemerosotan ekonomi negara.
Bagaimanapun, katanya, JK Tamat Darurat kecewa dengan kenyataan Menteri kerajaan PN+BN yang memperlekeh dan mempermainkan titah Yang di-Pertuan Agong serta Majlis Raja-Raja Melayu berhubung keperluan untuk Parlimen dibuka segera.
Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyatakan Perdana Menteri sudah berjanji Parlimen akan dibuka September nanti seolah menganggap Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu sebagai tidak bermaklumat dan titah itu tidak bermakna, ujarnya.
“Sedangkan, jelas cadangan untuk buka Parlimen pada September atau Oktober ini tidak memadai dan terlalu lambat bagi pandangan Yang di-Pertuan Agong serta Majlis Raja-Raja Melayu,” katanya. – MalaysiaGazette
P akatan H ancing berlagak HERO TAMIL kerana ketika Agong Isytihar Darurat GEROMBOLAN inilah berpencak DERHAKA menentangnya….P H juga mencetuskan POLITIK HAIWAN dan NOMBOR EKOR bila BEREBUTAN BILA AKUNON JADI PM…akhirnya JADI kerAjaan gagal 22BULAN MENGENCING dan KHIANAT MANDAT DAN MANIFESTO……sejarah tidak MENIPU