Rosmaini Abd. Raof dihadapkan ke Mahkamah Syesen Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memukul isteri kedua yang sedang hamil sehingga koma, awal bulan lalu.

Tertuduh, Rosmaini Abd. Raof, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim V. M Mabel Sheela.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki yang mempunyai empat isteri itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas isteri keduanya, Jahidah Nordin@Sylvester, 43.

Tertuduh didakwa memukul bahagian kepala, muka dan tangan serta menghentakkan kaki pada bahagian belakang tangan yang menyebabkan kecederaan parah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah pangsapuri di Jalan Tani, Kampung Aman, Larkin di sini pada pukul 6 pagi 4 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda serta Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukan hukuman penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sulehan Abd. Rahman menawarkan jaminan sebanyak RM30,000.

Tertuduh bagaimanapun merayu jaminan dikurangkan atas alasan masih menanggung tujuh anak dan empat isteri.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan dua orang penjamin selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan selain tidak boleh mengganggu mangsa.

Tarikh sebutan semula kes pada 25 Julai depan. – Malaysiagazette