Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin membuat serbuan pada sebuah kilang pengeluaran besi pada sesi lawatan pemantauan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di Kajang .Foto HAFIZ SOHAIMI, 17 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Tindakan sebuah kilang pembekal barang sektor kuari di Kajang menyorok beberapa pekerjanya sebagai menutup kesalahan pengingkaran prosedur operasi standard (SOP) kebenaran beroperasi terbongkar.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mengetuai serbuan pematuhan SOP secara mengejut bersama Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan  di kilang tersebut petang tadi menemui enam pekerja warga asing yang disorok mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Saya meninjau pematuhan SOP kilang-kilang di Lembah Klang hari ini dan hasil pemerhatian mungkin terdapat sedikit kekhilafan daripada majikan apabila beroperasi tidak memahami tanggungjawab mereka dari segi kebenaran yang diberikan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Semasa kita lakukan operasi kilang Kajang ini dapati dia melakukan rangkaian pembekalan supply chain untuk sektor kuari termasuk sektor mengeluarkan batu kapur dan simen dan masalahnya dikesan apabila dia tidak ikut SOP kebenaran 60 peratus yang dibenarkan.

“Dia terlibat dalam operasi melebihi had 60 peratus yang ditetapkan dan bila kita sampai dan pantau dengan mata kesar seolah dia patuh SOP tetapi rupa-rupanya taktik kotor dia menyorok orang terbongkar,” katanya kepada pemberita di lokasi pemantauan hari ini.

Justeru Hamzah segera mengarahkan pegawai penguat kuasa melakukan tindakan susulan yang patut berlunaskan undang-undang ke atas majikan tersebut.

Malah katanya pihaknya turut turun memantau satu lagi kilang pengeluar cermin kereta di Segambut yang sebenarnya dikategorikan sebagai sektor automobil.

Ujar Ahli Parlimen Larut itu, sektor automobil memang dibenarkan beroperasi pada waktu PKP Penuh tetapi untuk pembuatan khususnya mereka yang melakukan proses membekal dan penghantaran barang terdapat jadual operasi yang harus dipatuhi seperti ditetapkan kerajaan.

“Hasil penelitian saya di sini, kalau tak silap saya kilang cermin itu mengikut jadual yang ditetapkan, operasi mereka tidak dibenarkan pada Khamis dan unit pematuhan SOP kami memaklumkan kesalahan mereka yang mana mereka sepatutnya tidak beroperasi hari ini,” ujarnya.

Beliau bersama dengan Saravanan menasihatkan para majikan dan pemain perindustrian perkilangan supaya mengambil serius penularan Covid-19 dalam negara dan mematuhi SOP yang ditetapkan dalam operasi mereka.

“Angka jangkitan dan kematian yang ditunjukkan Ketua Pengarah Kesihatan setiap hari tidak dapat diturunkan di bawah paras 5,000 kes sehari dan sejak seminggu lalu hampir setiap hari kita melihat kluster paling besar adalah di tempat kerja kilang.

“Saya meminta semua majikan kalau selagi mana tidak mematuhi SOP yang ada, saya risau kita tak dapat nak menurunkan serta melandaikan lekungan kes dan melawan Covid-19 di dalam negara.

“Sebab itulah saya meminta penguat kuasa kaji semula dan keluarkan kompaun maksimum jika dirasakan patut dengan tahap serius kesalahan perlanggaran SOP oleh majikan,” katanya.

Beliau mengajak majikan supaya bersama kerajaan berganding bahu menjayakan pematuhan SOP yang dikenakan untuk sektor ekonomi semasa PKP Penuh ini.

“Jangan kau fikir mengenai diri anda seorang sahaja..yang bermasalah ramai lagi di luar sana.majikan yang dibenarkan operasi seharusnya mematuhi SOP secara komited.

“Kalau yang boleh buka operasi tetapi tak ikut SOP, akhirnya nombor kes tak boleh diturunkan dan kasihan kepada majikan lain yang tak dapat membuka operasi hanya kerana kesalahan kilang-kilang yang dibenarkan membuka operasi ini berdegil dan mengingkari SOP,” keluh beliau.

Hamzah menegaskan sikap semua pihak yang memberikan tanggungjawab mematuhi SOP kepada KDN semata-mata adalah satu tindakan tidak adil kerana sedang berjuang bertungkus lumus hampir dua tahun ini untuk menangani Covid-19.

Menurut beliau, apabila timbul masalah pengingkaran SOP oleh majikan, rakyat menyalahkan kerajaan kononnya tak dapat memastikan pematuhannya.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tiada maaf lagi, kalau ingkar SOP tutup operasi serta merta – Hamzah

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast