Noor Hariri Mohamed Noor
Noor Hariri Mohamed Noor

KUALA LUMPUR – Sebarang usaha daripada kerajaan untuk menggagalkan dan memberi seribu macam helah bagi melengahkan persidangan Parlimen layak digelar penderhaka besar kerana melanggar titah dan pendapat Raja-Raja Melayu.

Dengan mengambil kira situasi kerajaan yang seolah hilang arah dan kekurangan idea yang baik, Pemuda UMNO Kelantan mencadangkan untuk Parlimen bersidang seawal Julai ini.

Ini kata Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor, sebagai peluang kepada Ahli Parlimen memberi pendapat yang segar lagi bernas untuk penyelesaian mengawal wabak Covid-19 dengan berkesan seterusnya berjaya menjaga kebajikan rakyat.

“Pemuda UMNO Kelantan merafak sembah setinggi-tingginya dengan kebijaksanaan pandangan semua Raja-Raja Melayu yang tentunya meletakkan kepentingan rakyat melebihi segala-galanya,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Pemuda UMNO Kelantan membuat rumusan terhadap Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang berlangsung semalam.

Katanya, Parlimen perlu bersidang secepat mungkin untuk membahaskan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan secara tergesa-gesa sehari sebelum Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara semalam.

“Titah tuanku Yang di-Pertuan Agong betapa perlunya kerajaan yang stabil dan kukuh adalah untuk menangani wabak pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara

“Sidang Parlimen penting untuk Ahli-ahli Parlimen membincangkan semua perbelanjaan kerajaan yang dibuat dalam tempoh darurat secara telus untuk membantu rakyat yang kesempitan,” katanya.

Noor Hariri berkata, dengan titah Yang di-Pertuan Agong itu, jelaslah fungsi Parlimen amat penting bagi membolehkan suara rakyat didengari untuk tindakan kerajaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast