Seorang penolong juruukur bahan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) keluar daripada mahkamah selepas diikat jamin RM10,000 berikutan kes dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5,600 di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur . Foto HAFIZ SOHAIMI, 17 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Seorang Penolong Juruukur Bahan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, atas dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM5,600 bagi membocorkan maklumat anggaran sebut harga tender jabatan itu empat tahun lalu.

Tengku Kamarul Ariffin Raja Jalil, 42, yang ditemani isterinya tiba di mahkamah pada jam 8.20 pagi.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa sebagai Penolong Juruukur Bahan yang bertugas di MPS telah secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan wang tunai RM5,600 ke dalam akaun simpanannya daripada seorang lelaki bernama Mohd Firdaus Saif, 36.

Wang rasuah itu didakwa sebagai upah untuk tertuduh membocorkan maklumat anggaran sebut harga jabatannya kepada lelaki tersebut dan difahamkan sebut harga yang dibocorkan itu adalah berkaitan dengan tender.

Tengku Kamarul Ariffin didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Cawangan Kuala Lumpur di Menara Maybank, Jalan Tun Perak, di sini, pada 22 April dan 16 Ogos 2017.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Seorang penolong juruukur bahan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) hadir ke Mahkamah Sesyen berikutan kes dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5,600 di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur . Foto HAFIZ SOHAIMI, 17 JUN 2021.

Selain itu, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pilihan sama yang didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Aliff Shaharuzaman mencadangkan mahkamah mengenakan jaminan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Mohd Aliff turut meminta mahkamah mengenakan syarat tambahan dengan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sementara itu, peguam Chris Kooi Wei Kit yang mewakili tertuduh tidak membantah permohonan pihak pendakwaan serta bersetuju dengan syarat-syarat tambahan yang ditetapkan kepada mahkamah.

Hakim Rozina Ayob selepas meneliti cadangan pegawai pendakwaraya itu, kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan dan menetapkan sebutan kes pada 16 Julai ini. – MalaysiaGazette