Aksi Ronaldo yang mengetepikan prop promosi dua botol Coca Coca pada sidang media kejuaraan bola sepak Eropah baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Tindakan bintang Portugal, Cristiano Ronaldo mengetepikan prop promosi botol Coca-Cola pada sidang media kejuaraan bola sepak Eropah baru-baru ini wajar dicontohi semua ahli sukan dan penaja di negara ini.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tindakan itu dilihat luar biasa hingga telah menyebabkan nilai saham syarikat minuman gergasi itu jatuh serta-merta.

Katanya, kapten pasukan itu yang dikenali sangat sebagai ahli sukan yang memberi perhatian berat kepada soal kesihatan telah menunjukkan ketegasannya terhadap minuman itu.

“Ikon pemain bola sepak dunia itu telah mengangkat dua botol Coco-Cola yang ada di sisinya dan meletaknya jauh daripada dirinya dalam sidang media perlawanan kumpulan F menentang Hungary di Budapest.

“Beliau mengangkat botol air minum “Aqua”, seolah-olah menggalakkan orang ramai memilih minum minuman tersebut sebagai ganti kepada Coco Cola.

“Coca-Cola adalah penaja rasmi Euro 2020. Akibat tindakan Ronaldo nilai saham syarikat itu jatuh daripada USD56.10 kepada USD55.22 hampir serta- merta, iaitu jatuh 1.6 peratus,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Azmi berkata, pihaknya berpendirian adalah wajar kesihatan diutamakan dan sikap Ronaldo itu menjadi contoh kepada generasi muda untuk menjauhi minuman yang memudaratkan.

Katanya, jika jelas sebarang minuman atau makanan boleh menjejaskan kesihatan maka ia harus dielakkan.

Mohd Azmi Abdul Hamid

“Industri makanan kini sangat banyak mengguna kandungan gula yang tinggi serta pelbagai campuran bahan kimia.

“Adalah sangat penting golongan yang membawa pengaruh yang besar kepada generasi muda membantu menyampaikan mesej yang baik mengenai kesihatan.

“Para selebriti dan ahli sukan harus mengelakkan diri daripada menjadi alat kepada iklan produk yang boleh menjejaskan kesihatan,” tegasnya. – MalaysiaGazette