Sindiket rekalibrasi didalangi dua supek warga Bangladesh yang aktif di Kuala Lumpur berjaya dipatahkan Imigresen.

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah berjaya menumpaskan satu sindiket  penipuan Program Rekalibrasi Pulang yang didalangi oleh dua lelaki Bangladesh yang bergiat aktif di Kuala Lumpur.

Kedua-dua suspek dicekup oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM Putrajaya  pada 15 Jun lalu, kata Ketua Pengarahnya Datuk Khairul Dzaimee Daud hari ini.

“Operasi yang dijalankan itu berjaya menahan dua orang lelaki masing-masing berumur 38 dan 53 tahun yang disyaki mendalangi sindiket ini.

“Salah seorang saspek yang ditahan itu merupakan individu yang dikehendaki oleh Jabatan Imigresen Negeri Kedah rentetan tangkapan ejen program rekalibrasi berkenaan di negeri tersebut pada Mac yang lalu,” katanya dalam satu kenyataaan.

Beliau menambah, hasil kerjasama dan maklumat oleh orang ramai, sindiket ini berjaya dikesan beroperasi di sebuah bilik premis kedai yang disewa terletak di Lebuh Ampang, dekat sini.

Ketika serbuan dilakukan pasukan telah menemui empat naskah pasport, empat dokumen perjalanan Bangladesh yang disyaki untuk digunakan dalam program rekalibrasi berkenaan disusuli puluhan slip temu janji online (STO) di Pejabat Imigresen Malaysia di pelbagai negeri, borang Permit Pergerakan PKP untuk tujuan rentas negeri, dokumen Kedutaan Bangladesh dan lapan kad bank disyaki berkaitan dengan aktiviti yang dijalankan.

“Modus operandi sindiket ini mensasarkan pekerja asing warga Bangladesh yang telah tinggal lebih masa atau tidak mempunyai sebarang dokumen sah di negara ini.

“Sindiket ini juga disyaki mengeluarkan dokumen perjalanan Bangladesh secara tidak teratur dan memperdayakan warganegara itu dalam urusan Program Rekalibrasi Jabatan Imigresen Malaysia,” tambahnya.

Berdasarkan maklumat awal, sindiket ini mengenakan bayaran antara RM1,100 hingga RM2,600 bagi setiap permohonan rekalibrasi manakala bagi permohonan mendapatkan dokumen perjalanan bayaran yang dikenakan antara RM1,000 hingga RM1,500.

“Berdasarkan slip STO yang ditemui, sindiket ini disyaki telah menguruskan lebih daripada 200 permohonan sepanjang program rekalibrasi dijalankan setakat ini,” ujar beliau.

Tegas Dzaimee, kedua-dua lelaki ini telah ditahan dan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966.

Rentetan pembongkaran sindiket berkenaan, Jabatan Imigresen Malaysia sekali lagi menegaskan pihaknya tidak pernah melantik mana-mana ejen bagi menguruskan program rekalibrasi tersebut.

“Orang ramai dinasihatkan berurusan terus dengan Jabatan Imigresen di seluruh negara dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pihak ketiga bagi menguruskan program rekalibrasi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette