Asri Ahmad Academy bersama Murtadha Dakwah Centre (Madad) tampil memberi sumbangan mesin perubatan Arterial Blood Gases (ABG) kepada Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

KUALA LUMPUR – Asri Ahmad Academy bersama Murtadha Dakwah Centre (Madad) tampil memberi sumbangan mesin perubatan Arterial Blood Gases (ABG) kepada Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah baru-baru ini.

Mereka mengambil inspirasi daripada selebriti Neelofa yang suka menyumbang kepada masyarakat, kata Pengarah Urusan Madad, Yaakub Yusra Mohd. Yusoff.

Sebelum itu, Neelofa pernah menyumbangkan sebanyak 15 katil khas pesakit Covid-19 kepada sebuah hospital di Melaka.

Menurut Yaakub Yusra,  sumbangan itu dibuat selepas mendapat maklumat berkaitan keperluan segera untuk mesin ABG di beberapa buah hospital di Kedah.

Jelas beliau, pihaknya telah merujuk kepada pihak Malaysian Relief Agency (MRA) tentang spesifikasi mesin ABG yang diperlukan dan juga senarai pembekal yang berdaftar di mana tiga buah mesin ini berjumlah RM105,000.

“Kami memang dimaklumkan secara spesifik tentang keperluan segera mesin ABG di tiga hospital ini. Oleh itu dengan sedikit dana yang kami ada, kami cuba bantu sedaya mungkin.

“Hospital tersebut adalah di Alor Setar, Hosputal Jitra dan Hospital Baling, Kedah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mesin perubatan ABG turut disumbangkan kepada Hosputal Jitra dan Hospital Baling di Kedah.

Yaakub turut menganggap sumbangan itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat.

Tambah beliau, pihaknya akan cuba menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan samada dalam bentuk tunai, barangan atau keperluan-keperluan lain.

“Sebenarnya, keperluan untuk bantuan perubatan adalah sangat banyak. Permintaan juga tinggi kerana lebih banyak ICU dan wad rawatan rapi terpaksa dibuka. Bahkan baru-baru ini Neelofa sendiri ada memberi sumbangan berupa katil hospital yang bernilai hampir RM100,000.

“Ini membuktikan kemudahan peralatan perubatan amat diperlukan pihak hospital, tambahan pula dengan kadar peningkatan pesakit Covid-19 kebelakangan ini.

“Kami ingin mengajak lebih ramai individu, pertubuhan-pertubuhan mahupun syarikat-syarikat untuk tampil membantu dari segi menyediakan peralatan perubatan. Boleh hubungi MRA utk keterangan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette